SABAH FC melakar sejarah tersendiri apabila dijemput menyertai Kejohanan Antarabangsa RCTI Premium Sports di Jakarta, Indonesia pada akhir bulan ini.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan jemputan itu sebagai satu pengiktirafan terhadap pencapaian Sabah FC dalam saingan Liga Super dan serantau.
Mengulas lanjut mengenai kejohanan itu nanti Kim Swee berkata, Sabah FC mengesahkan tiada pemain kebangsaan akan disenaraikan untuk menyertai kejohanan tersebut.
BACA LAGI: Selangor perlu dihukum dengan bijak oleh MFL — Pemerhati
BACA LAGI: Doakan Faisal Halim kembali sembuh — Isteri
Stuart Wilkin (tiga dari kanan), Darren Lok (tengah) dan Daniel Ting (kanan) antara pemain Harimau Malaya yang dijangka tidak berada dalam senarai untuk menyertai kejohanan RCTI Premium Sports di Jakarta. — Facebook/Sabahfc
“Pemain sedia ada perlu membuktikan keupayaan mereka untuk layak bermain pada mana-mana kejohanan sekiranya berlaku kecederaan atau penggantungan terhadap pemain utama sepanjang kempen liga nanti.
“Sudah tentu ruang yang ada ini perlu digunakan sebaik mungkin serta mampu untuk mendapatkan momentum serta meneruskan intensiti selepas mengharungi tiga perlawanan dalam Liga Super kelak,” kata Kim Swee.
Kejohanan yang akan berlangsung di Jakarta Internasional Stadium (JIS) bermula 30 Mei hingga 2 Jun turut melibatkan satu lagi wakil kelab Malaysia iaitu Selangor FC dan dua wakil pasukan dari Indonesia, Persija Jakarta dan PSIS Semarang.
Tambah Kim Swee lagi, kejayaan skuad Sang Badak ke Piala AFC 2023 selain mengekalkan kedudukan ketiga terbaik liga dua tahun berturut-turut menuntut pengorbanan termasuk dari segi perbelanjaan yang begitu besar.
"Semua tahu Sabah FC berbelanja besar dalam membentuk pasukan yang mantap, berkualiti, sekali gus jemputan ini memberikan imej yang sangat baik bukan saja kepada pasukan Sabah FC malah kepada negeri Sabah sendiri," katanya.
Menurutnya, pengiktirafan itu merupakan perkembangan positif sekali gus menjadikan Sabah FC sebaris dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara yang begitu sinonim dengan kehebatan mereka dalam arena sukan bola sepak.
“Jemputan ini merupakan penghargaan kepada Sabah FC selepas pencapaian terbaik mereka layak ke saingan Piala AFC dan berada di tempat ketiga selama dua tahun berturut-turut dalam Liga Super," kongsinya.
Juara menerima hadiah wang tunai 30,000 dolar Amerika Syarikat (USD) bersamaan RM142,000 beserta Piala Rajawali dan medal, manakala naib juara 15,000 USD (RM71,000) dan pemenang tempat ketiga dan keempat masing-masing akan menerima hadiah wang tunai berjumlah 10,000 USD (RM47,000) dan 5,000 USD (RM23,000). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram