‘Tak cacat pun Piala Sumbangsih kena tangguh dulu’


  • Podium
  • Khamis, 09 Mei 2024

Piala Sumbangsih. — JDT

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah membuat keputusan muktamad untuk membatalkan perlawanan Piala Sumbangsih susulan penarikan diri Selangor FC menerusi satu kenyataan rasmi pada Rabu.

Kejohanan yang sepatutnya dimainkan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu menjadi bualan orang ramai memandangkan Gergasi Merah mempunyai sebab yang munasabah untuk menarik diri.

MFL yang memberi jaminan keselamatan buat pasukan Gergasi Merah masih belum boleh meyakinkan skuad kendalian Nidzam Jamil untuk turun mencabar kejuaraan trofi tersebut.

BACA LAGI: Pemain bola jadi mangsa jenayah, CEO Sri Pahang waspada aksi sulung Tok Gajah

BACA LAGI: ‘Tangan Faisal Halim tiada refleks jangka panjang tak tepat’

Dr Pekan

Datuk Dr Pekan Ramli.

Disebabkan Selangor menarik diri, MFL telah memberikan kemenangan ‘walkover’ kepada JDT dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata penuh bagi perlawanan Liga Super (LS1).

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan keputusan MFL telah membuatkan pasukan Selangor kecewa dan mungkin boleh diselesaikan dengan semangat setia kawan.

"Pertama, permintaan untuk menunda perlawanan oleh Selangor beberapa hari lalu sebenarnya telah ditolak MFL.

"Jadi perlawanan Piala Sumbangsih mesti diteruskan.

"Keputusan itu membuat Selangor teramat kecewa dan memutuskan untuk tidak mahu beraksi pada Piala Sumbangsih.

"Tindakan ini turut mendapat restu daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut kesal dengan keputusan MFL itu.

Kenytaan

Kenyataan dimuat naik Selangor pada Rabu.

"Keputusan membatalkan perlawanan itu memang hak MFL setelah Selangor secara rasmi tidak akan ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

"Cuma saya rasakan hal ini sepatutnya boleh diselesaikan dengan semangat kesukanan dan setia kawan.

"Pada ketika kawan kita berada dalam kesusahan pada waktu inilah kita perlu tampil untuk membantu atau memberikan semangat.

"Bagi saya tidak cacat pun kalau aksi Piala Sumbangsih itu ditangguhkan dulu," katanya kepada Majoriti.

Untuk rekod, Selangor membuat keputusan untuk tidak hadir dalam perlawanan Piala Sumbangsih itu susulan isu keselamatan buat pemain-pemain mereka.

Pihak Selangor telah melakukan penelitian dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram