Bimbang keselamatan pemain selain Faisal Halim terancam, Selangor mohon tunda Piala Sumbangsih


  • Podium
  • Selasa, 07 Mei 2024

Rentetan insiden yang menimpa Faisal (gambar), Selangor meminta agar Piala Sumbangsih yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat ini ditangguhkan ke satu tarikh lain. — Selangor FC

SELANGOR FC memohon supaya Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menangguhkan perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat (10 Mei).

Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan kelab pada Selasa, Selangor telah menghantar permohonan tersebut kepada dua badan induk tersebut supaya perlawanan ditangguhkan.

Mereka menyatakan beberapa faktor menjadi sebab kenapa Gergasi Merah mahu menangguhkan perlawanan tersebut.

BACA LAGI: ISN akan pastikan Faisal Halim kembali bermain bola sepak, tanggung kos pemulihan sepenuhnya

BACA LAGI: Suspek simbah asid sempat ucap 'good luck', Faisal Halim cedera lecur di 4 bahagian

"Rentetan beberapa isu dan insiden yang berlaku kebelakangan ini, pihak Selangor FC telah menghantar surat permohonan rasmi kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) untuk menunda perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2024, Jumaat ini.

"Kami berharap faktor-faktor yang dinyatakan dalam surat permohonan tersebut akan diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak FAM dan MFL," kata Selangor dalam kenyataan mereka.

Begitupun dalam kenyataan tersebut, Selangor tidak mendedahkan faktor-faktor yang menyebabkan mereka memilih untuk meminta menangguhkan perlawanan tersebut.

Namun melihat kepada situasi semasa, sudah pasti isu keselamatan para pemain dan pegawai Selangor menjadi keutamaan dan mereka tidak mahu terdedah dengan sebarang bahaya apabila bertandang ke SSI kelak.

Sudah pasti, Selangor tidak mahu ada mangsa selepas Faisal Halim yang disimbah asid pada Ahad lalu. Selepas kejadian itu, timbul khabar angin mengatakan Ketua Pegawai Selangor (CEO), Dr Johan Kamal Hamidon serta pengendali, Nidzam Jamil menjadi sasaran seterusnya.

Dilaporkan kini, Selangor mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan marshall untuk mengawal Pusat Latihan FAS di Shah Alam.

Malah, beberapa pemain turut dipindahkan ke kawasan lain untuk memastikan keselamatan mereka terjamin.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram