SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa atas tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana tetap meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih dan aksi pertama Liga Super antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor Jumaat (10 Mei).
Kekecewaan itu hadir selepas usaha Selangor FC meminta kepada MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menangguhkan perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) tetapi ia ditolak.
Oleh itu, Selangor memilih untuk tidak hadir ke perlawanan tersebut selepas menimbang beberapa perkara terutamanya mengenai keselamatan para pemain dan pegawai.
BACA LAGI: Selangor FC berisiko hilang 12 mata, dilucut kejohanan Asia?
BACA LAGI: Bimbang keselamatan pemain selain Faisal Halim terancam, Selangor mohon tunda Piala Sumbangsih
Dalam kenyataan Selangor Royal Press yang memetik titah baginda, Sultan Sharafuddin memberi perkenan kepada Selangor untuk tidak menghadiri perlawanan tersebut bagi menjaga keselamatan memandangkan kes simbahan asid melibat Faisal Halim masih lagi hangat.
"Selaku Penaung Selangor FC, Baginda berpandangan, susulan berlakunya beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk pasukan Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga merupakan aksi pertama Liga Super edisi 2024.
"Baginda bagaimanapun menzahirkan rasa kecewa kerana pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC supaya menangguhkan perlawanan berkenaan," jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, Sultan Sharafuddin turut mengatakan yang keselamatan menjadi keutamaan dan bukannya piala yang hendak diburu menjadi perkara yang harus difikirkan oleh skuad Selangor.
Dalam masa yang sama, kenyataan itu menambah, Sultan Sharafuddin mahu semua pihak memahami betapa seriusnya isu tersebut berbanding perkara yang pernah berlaku sebelum-sebelum ini.
"Baginda bertitah, bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira. Justeru, Baginda turut menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa jua bentuk.
"Baginda mahu semua pihak memahami bahawa tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa pemain sebegini adalah tidak sama dengan kes-kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan," tambah kenyataan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram