Faisal tiada musuh, sama macam saya — Bapa


  • Podium
  • Jumaat, 10 Mei 2024

Ramai yang memberi sokongan kepada Faisal (kiri) untuk kembali kuat selepas insiden itu. — Facebook/FAM

ABDUL Halim Saad, bapa pemain bola sepak tanah air, Faisal Halim yang cedera parah selepas disimbah asid pada 5 mei lalu menegaskan anaknya tidak mempunyai musuh.

Menurutnya, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey itu seorang yang peramah dan tidak pernah bersembunyi mahupun lari daripada orang lain.

"Dia seperti saya. Kami suka membuat jenaka dan sebagainya, tetapi tidak pernah melakukan apa-apa untuk menyakiti sesiapa," katanya.

BACA LAGI : Lagi suspek ditahan, tangan kiri Faisal Halim tiada reaksi, percakapan terbatas

BACA LAGI : Kenapa nak tutup mulut Faisal Halim semata-mata jadi jujur?'

2681275

Keadaan awal Faisal Halim selepas mengalami serangan asid pada Ahad lalu.

Abdul Halim pada masa sama memberi kata-kata semangat dan dorongan kepada Faisal untuk terus bangkit dalam kariernya itu.

Katanya, Mickey perlu terus lebih gigih dan kembali kuat.

"Mickey bukan tikus, sebaliknya, dia akan melawan seperti singa. Saya nak dia kuatkan diri dulu. Saya harap dia cukup berazam untuk menunjukkan dia boleh kembali dengan lebih baik lagi.

“Saya reda (saya terima). Mungkin ada sebab di sebaliknya. Saya hanya berharap agar orang yang melakukan perbuatan ini, semoga ALLAH memberikan hidayah (petunjuk) kepadanya," katanya.

Sementara itu, motif serangan masih belum dapat dipastikan namun, terdapat banyak spekulasi, dengan ada yang menggelarnya sebagai perbuatan khianat.

Tambahnya, Faisal yang menjalani pembedahan ketiganya pada Khamis mungkin memerlukan satu atau dua pembedahan lagi sebelum boleh keluar dari unit rawatan rapi (ICU).

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kelab Bola Sepak Selangor (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, Faisal semakin pulih kerana kemahuan yang kuat.

"Dia sudah mula melakukan beberapa senaman asas dan mengamalkan diet ringan. Kami berhubung dengan hospital setiap hari dan juga menghantar ahli fisioterapi kami untuk membantunya melakukan senaman.

"Kami mahu memastikan otot bawah badannya terus berfungsi. Seorang pemain seperti Faisal perlu bergerak sepanjang masa," katanya.

Shahril turut mengesahkan kelab itu bekerjasama dengan Institut Sukan Negara bagi mempercepatkan kesembuhan Faisal. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram