'Show must go on', TMJ beri mesej ringkas lepas Selangor tarik diri Piala Sumbangsih


  • Podium
  • Khamis, 09 Mei 2024

TMJ memberikan responsnya mengenai keputusan Selangor tidak hadirkan diri ke Piala Sumbangsih. — JOHOR Southern Tigers

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan responsnya mengenai keputusan Selangor FC yang menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih dan aksi pertama Liga Super berdepan kelabnya pada Jumaat.

TMJ menerusi laman Instagramnya menyampaikan mesej, "Dalam hidup ini, 'pertunjukkan' mesti dijalankan seperti biasa."

JDT mengharapkan Selangor untuk mempertimbang semula keputusan tidak menyertai perlawanan Piala Sumbangsih selepas permintaan Gergasi Merah untuk menundakan aksi tersebut tidak diterima oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

BACA LAGI: Selangor FC berisiko hilang 12 mata, dilucut kejohanan Asia?

BACA LAGI: Selangor pilih boikot, tidak hadir Piala Sumbangsih

Memetik laporan Stadium Astro, sebanyak 20,000 keping tiket telah terjual bagi aksi yang dijadualkan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Namun begitu, keputusan tidak hadir ke perlawanan itu tetap menjadi pilihan Selangor selepas mereka mengambil kira faktor keselamatan para pemain dan pegawai serta suhu kes yang masih belum reda.

Tindakan tegas Selangor membuktikan yang mereka benar-benar risau akan keselamatan walaupun kelab itu berdepan potensi untuk dikenakan pemotongan mata serta pelucutan status sebagai wakil Malaysia di kejohanan Asia.

"Setelah penelitian dijalankan dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam, pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk TIDAK HADIR ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan," kata Selangor dalam kenyataan mereka.

Menurut laporan sebelum ini, Selangor berpotensi bakal dikenakan hukuman pemotongan sebanyak 12 mata selain slot mereka di Asia diberikan kepada kelab lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram