Aksi sulung Liga Super berbaki 2 hari, fans kecewa Kedah masih belum rasmi jersi baharu


  • Podium
  • Rabu, 08 Mei 2024

Pemain-pemain Kedah sudah menggunakan jersi pramusim 2024/25.

KEDAH DARUL AMAN FC (KDA FC) akan memulakan langkah pertama dalam perlawanan pembukaan Liga Super dengan berkunjung ke rumah baharu PDRM FC, Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu (11 Mei).

Sang Kenari dilihat akan menghadapi cabaran besar daripada The Cops selepas pasukan tuan rumah sudah melakukan persiapan yang baik dengan membawa masuk bekas penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun.

PDRM FC musim ini membawa masuk jurulatih berpengalaman, P. Maniam dan menandatangani lima import baharu iaitu Faith Obilor, Aremu Timothy, Chidi Osuchukwu, Prince Aggreh dan Ifedayo Olusegun.

BACA LAGI: 'Macam zaman Mat Don', Nafuzi Ball mula tuai hasil di bumi Darul Iman

BACA LAGI: Pernah berbakti bersama Kedah, 3 pemain sayap mudah pikat hati penyokong Sang Kenari

Manakala Sang Kenari mengekalkan hampir muka sama pada musim lalu dengan membawa masuk beberapa import baharu untuk menterjemahkan corak permainan 'Nafuzi Ball'.

Kedah yang sebelum ini mempunyai masalah gaji telah menandatangani Habib Haroon, Sony Norde, Milos Gordic, Sukhrob Nurullaev dan Cleylton de Morais bagi bersaing dalam Liga Super musim ini.

Namun begitu, dengan berbaki dua hari lagi perlawanan Liga Super antara KDA FC dan PDRM FC, pihak pengurusan Kedah masih belum melancarkan jersi baharu bagi saingan Liga Super musim 2024/25.

Manakala pasukan-pasukan Liga Super lain sudahpun merasmikan jersi mereka dan ada yang mula mendapat keuntungan hasil daripada penjualan pakaian mereka.

Perkara mengenai jersi Hijau Kuning itu sudah mula mendapat reaksi negatif dalam kalangan penyokong Sang Kenari yang tertanya-tanya mengenai reka bentuk dan corak pakaian rasmi mereka musim ini.

"Lain macam kali ini, lagi dua hari nak mula (liga) jersi tak ada lagi ini," kata Munir Ishak.

"Jersi bila lancar? Ada dua hari sahaja lagi, kali terakhir dapat tahu jersi waktu hari perlawanan masa 2012," jelas Mohamad Asyraaf.

"Jersi musim 2024-25 apa cerita? Kongsilah sikit dengan masyarakat, kami nak tahu juga. 100 tahun kena buat elok lain dari lain sikit, nak simpan buat kenangan," luah Asri Ahmad.

"Jersi pakai yang tahun lepas ke?" soal Yusri Yusoff.

Main Pix

Jersi pramusim KDA FC.

Sebelum ini, pihak pengurusan telah melancarkan jersi pramusim berwarna merah dan hijau, namun sehingga kini masih belum ada info mengenai pelancaran kit rasmi baharu Kedah.

Dalam media sosial, ramai penyokong menyatakan jersi baharu Kedah akan dirasmikan selepas perlawanan kedua Liga Super namun masih belum ada info yang sahih daripada pihak pengurusan.

Harga jersi pramusim Kedah ialah RM79 tidak termasuk tambahan nombor atau nama di belakang baju. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram