KURANG sebulan lagi, pasukan Liga Super akan memulakan kempen baharu Liga Malaysia (Liga M) dengan perlawanan pertama di antara dua gergasi bola sepak negara iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada 10 Mei nanti.
Aksi sulung Liga Super itu dijangka menjadi tumpuan seluruh negara apabila pemenang juga bakal menjulang Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, selain memberikan tiga mata penuh buat pemenang.
Banyak pasukan sedang melakukan penambahbaikan dengan kemasukan import baharu daripada pelbagai benua dengan ada di antara mereka baru pertama kali beraksi dalam Asia Tenggara.
Namun apa lebih menarik, Liga Super masih mempunyai pemain-pemain 'senior' yang aktif beraksi meskipun sudah mencecah usia 36 tahun dan ke atas.
Majoriti senaraikan lima pemain tempatan yang masih ditagih khidmatnya dalam Liga Super:
BACA LAGI: Steenvoorden masih belum 'solid', fans TFC desak rekrut bekas import Sang Penyu
Fauzi Abdul Majid.
1. Fauzi Abdul Majid (PDRM FC) - 42 tahun
Mengikut laman sesawang Transfermarkt, PDRM FC masih menyenaraikan Fauzi Abdul Majid dalam skuad 2024/25 The Cops untuk menghadapi saingan liga musim depan.
Tidak banyak info mengenai Fauzi dalam Transfermarkt apabila dia hanya merekodkan satu perlawanan dengan masa bermain sekadar 24 minit.
Jika benar Fauzi masih bersama PDRM, dia merupakan pemain tertua yang akan didaftarkan dalam Liga Super musim depan.
Azraie disenaraikan dalam kesebelasan utama The Cats untuk aksi pramusim.
2. Wan Azraie (Kuching City FC) - 37 tahun
Bekas pemain Terengganu FC, Wan Azraie akan meneruskan kariernya bersama Kuching City selepas masih mendapat kepercayaan daripada Aidil Shahrin.
Bukan sekadar memanaskan bangku simpanan, Azraie telah disenaraikan dalam kesebelasan utama The Cats untuk aksi pramusim.
Musim lalu, Azraie menjadi penyelamat Aidil selepas The Cats kehilangan penjaga gol import, Julian Schwarzer yang menyertai kelab Indonesia.
Natxo mempunyai pengalaman luas di Liga Sepanyol.
3. Natxo Insa (JDT) - 37 tahun
Pengalaman yang dimiliki Natxo Insa di pentas Eropah masih ditagih Hector Bidoglio untuk membimbing pemain-pemain muda Harimau Selatan.
Walaupun musim lalu, Natxo mengalami kecederaan yang menyebabkan dia tidak beraksi sepanjang musim, JDT masih mempercayai kudrat yang ada pada bekas pemain Levante itu.
Natxo juga diberi peluang oleh Bidoglio untuk turun dalam beberapa aksi perlawanan persahabatan di Sepanyol.
Farizal masih memainkan peranan penting untuk membantu Syihan Hazmi berada dalam kelas tersendiri.
4. Farizal Marlias (JDT) - 37 tahun
Kepimpinan Farizal Marlias di kawasan pertahanan turut ditagih oleh Bidoglio yang mana JDT masih menyimpan bekas penjaga gol kebangsaan itu.
Walaupun wataknya sukar dilihat di atas padang pada musim lalu, Farizal masih memainkan peranan penting untuk membantu Syihan Hazmi berada dalam kelas tersendiri.
Bekas pemain Selangor itu kaya dengan pengalaman di pentas antarabangsa bersama Harimau Malaya dan JDT apabila dia membantu Harimau Selatan menjuarai Piala AFC pada 2015.
BACA LAGI: Vincent Bezecourt ancaman besar Selangor sebelum bertemu JDT
Safiq tidak tergugat meskipun dengan kehadiran pemain import tengah baharu.
5. Safiq Rahim (JDT) - 36 tahun
Bekas jeneral Harimau Malaya, Safiq Rahim menewaskan pemain-pemain muda JDT lain untuk kekal relevan dalam skuad Harimau Selatan.
Kedudukan Safiq tidak tergugat meskipun dengan kehadiran pemain import tengah baharu, malah pihak pengurusan telah meminjamkan bintang lebih muda ke pasukan lain.
Bukan sekadar hanya memanaskan bangku simpanan, Safiq juga mendapat peluang untuk menunjukkan kualitinya dalam pramusim JDT di Sepanyol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram