Magis 2022, kehilangan Bergson-Roonie jadi 4 momen getir pertembungan epik JDT-Selangor


  • Podium
  • Selasa, 07 Mei 2024

Siapakah bakal dinobatkan sebagai juara Piala Sumbangsih musim ini?

TINGGAL dua hari lagi, pasukan Liga Super akan memulakan kempen baharu Liga Malaysia dengan perlawanan pertama di antara dua gergasi bola sepak negara iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada Jumaat nanti.

Aksi sulung Liga Super itu dijangka menjadi tumpuan seluruh negara apabila juara pasukan juga akan menjulang Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, selain memberikan tiga mata penuh buat pemenang.

Perlawanan itu bukan sahaja menentukan pemenang Piala Sumbangsih tapi akan memberikan empat momen berharga buat kedua-dua pasukan.

Majoriti senaraikan empat momen yang dijangka dipertonton kepada seluruh penyokong bola sepak negara pada Jumaat ini:

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya Terengganu FC berjaya calar rekod bersih juara Piala AFC

Main Pix

Adakah Ronnie mampu meneruskan kecemerlangan Ayron del Valle?

1. Ketiadaan Bergson da Silva - Ronnie Fernandez

Penyokong Selangor mungkin boleh menarik nafas lega selepas penyerang berbisa Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva masih belum cergas sepenuhnya untuk terlibat dalam perlawanan pembukaan menentang Gergasi Merah.

Ini kerana penyerang kelahiran Brazil itu tidak diturunkan langsung dalam kesemua aksi pramusim di Sepanyol dan hanya menjalani latihan bersama Harimau Selatan.

Namun begitu, penyokong Selangor mungkin kempunan untuk melihat kelibat penyerang baharu, Ronnie Fernandez selepas dia juga dilaporkan mengalami kecederaan kerana tidak terlibat dalam kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2024.

2. Pertembungan Ramadhan Saifullah - Sharul Nazeem

Mungkin penyokong sudah masak melihat aksi Arif Aiman selepas dia selalu tampil cemerlang di atas padang sehingga membayangi pemain-pemain lain.

Namun kebangkitan Ramadhan Saifullah semasa aksi pramusim di Sepanyol telah membuatkan penyokong Johor ternanti-nanti akan prestasinya di atas padang musim ini.

Jika Ramadhan diberikan kepercayaan untuk turun beraksi di posisi sayap kiri pastinya Shahrul Nazeem (Selangor) akan menjadi tembok utama yang perlu dilepasi pemain muda itu.

Shahrul Nazeem yang dilihat selesa beraksi di sebelah kanan pastinya akan menggalas tanggungjawab besar apabila tidak bolos dalam kejohanan SAC 2024.

3. Pertembungan 'reunion' Nidzam Jamil - Hector Bidalgio

Nidzam Jamil mempunyai pengalaman mengikat JDT di Stadium MBPJ dalam aksi Liga Super 2022.

Ya! ketika itu Bidalgio membimbing Harimau Selatan dan Nidzam Jamil telah menggantikan Michael Feichtenbeiner yang dipecat oleh pihak pengurusan susulan prestasi hambar Gergasi Merah.

Dalam perlawanan itu JDT telah dihadiahkan dengan sepakan penalti selepas Arif Aiman dijatuhkan dalam kotak akibat terjahan pertahanan Selangor.

Namun sebelum pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat, bekas pemain import Selangor, Herlison Caion telah menjaringkan menerusi satu rembatan deras yang menewaskan Farizal Marlias.

BACA LAGI: Selangor FC hilang 6 tonggak utama sebelum lawan JDT?

4. Impak Alvin Fortes

Pada mulanya ramai meragukan keupayaan bekas pemain Ratchaburi FC, Alvin Fortes selepas rekod hambar dalam Liga Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun selepas melihat persembahannya dalam kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2024, ramai penyokong mula terpikat dengan aksi lincahnya.

Itu belum lagi dengan tiga jaringan yang dihasilkannya dalam dua perlawanan menentang Brunei DPMM FC dan Young Elephants FC.

Malah pemerhati bola sepak juga sudah bercakap pemain kelahiran Belanda dengan mengatakan dia akan menjadi aset penting buat Gergasi Merah untuk mencabar kejuaraan Liga Super 2024/25.

Aksi Piala Sumbangsih akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram