Rasai kerugian fans, kos kerah 1,500 polis boleh jadi punca JDT kecewa keputusan Selangor


  • Podium
  • Khamis, 09 Mei 2024

Skuad Harimau Selatan jelas kecewa akan keputusan Selangor FC yang menarik diri daripada Piala Sumbangsih.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) menyatakan kekecewaan mereka atas keputusan diambil Selangor FC yang menarik diri daripada beraksi dalam perlawanan Piala Sumbangsih dan aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat.

Selepas melakukan persiapan lengkap sepanjang tempoh pramusim, skuad Harimau Selatan cukup yakin untuk menilai kebolehan sendiri berdepan pasukan Lembah Klang itu.

Namun, selepas tiga insiden melibatkan pemain kebangsaan, Selangor FC mengambil keputusan itu setelah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan perlawanan akan diteruskan.

BACA LAGI: Selangor FC berisiko hilang 12 mata, dilucut kejohanan Asia?

BACA LAGI: Nistelrooy antara 3 prospek muda JDT, tunggu masa untuk meletup musim depan

441289114_954071780057884_6623366794430095680_n

Skuad Gergasi Merah mengambil langkah selamat untuk mengelak perkara tidak diingini. Facebook/Selangor FC

Jadi, sebagai respons terhadap kenyataan naib juara Liga Super 2023 itu, JDT tampil mengeluarkan kenyataan meluahkan kekecewaan pasukan terhadap lawan mereka nanti tersebut.

Bagaimanapun, respons diberikan mencetuskan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan yang beranggapan kelab Selatan tanah air itu tidak sensitif atas isu berlaku.

Selain mendesak JDT supaya menerima pendirian Selangor FC, orang ramai turut menyalahkan juara Liga Super itu kerana mendedahkan beberapa maklumat sulit baru-baru ini.

Tetapi, melihat kepada situasi, terdapat kemungkinan skuad Harimau Selatan menyuarakan perasaan mereka kerana terpaksa menanggung kerugian menjelang aksi itu.

Berdasarkan surat skuad Gergasi Merah sebelum ini, mereka menyenaraikan beberapa permintaan, termasuk polis pengiring sebanyak dua kali pada Khamis dan Jumaat.

GMzp6mqbIAAfwRu

Beberapa permintaan Selangor FC didedahkan JDT baru-baru ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Selain itu, dalam satu kenyataan dikeluarkan, JDT berjanji bahawa keselamatan kedua-dua kelab akan terjamin kerana seramai 1,500 anggota polis akan dikerah.

Kedua-dua permintaan tersebut sahaja sudah membuatkan mereka menanggung kerugian sehingga puluhan ribu ringgit dengan tujuan mengelak segala insiden tidak dimahukan berlaku.

Tidak cukup dengan itu, kerugian juga terpaksa ditanggung penyokong yang sudah tentu teruja untuk menyaksikan pertembungan hangat antara dua kelab gergasi tempatan berkenaan.

Selepas mengeluarkan wang masing-masing untuk membeli tiket, ramai juga daripada mereka yang berbelanja dalam menanggung kos logistik seperti pengangkutan dan tempat tinggal.

Kerugian sedemikian juga pastinya dirasakan JDT memandangkan mereka sering mengetengahkan pandangan penyokong dengan ia merupakan kunci di sebalik kejayaan.

Meskipun jumlah sebenar tidak dapat dikenal pasti, masalah sedemikian membuatkan skuad Harimau Selatan sedikit kecewa atas keputusan menarik diri itu.

Bagaimanapun, adalah salah untuk mengatakan tindakan Selangor FC terlalu keterlaluan memandangkan keselamatan merupakan perkara utama, lebih-lebih lagi dengan kes sedemikian berlaku sepanjang minggu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram