PROSES penyembuhan pemain kebangsaan, Faisal Halim sudah memasuki fasa baharu dengan ia menunjukkan perkembangan positif selepas dua pembedahan.
Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Hazwan Khair berkata, ini turut menyaksikan penyerang itu akan menerima rawatan lebih rapi berbanding sebelum ini.
"Selepas pembedahan kedua, kita boleh nampak proses penyembuhan seperti mana dirancang dan kami amat berpuas hati. Pakar bedah juga gembira dengan progres ditunjukkan Faisal.
"Jadi, buat sementara waktu ini, kita boleh kata sudah memasuki fasa pemulihan baharu yang boleh dilabel sebagai rekronstruktif," katanya.
BACA LAGI: Rasai kerugian fans, kos 1,500 polis boleh jadi punca JDT kecewa keputusan Selangor
BACA LAGI: Selangor FC berisiko hilang 12 mata, dilucut kejohanan Asia?
Hazwan menyatakan pihaknya berpuas hati dengan perkembangan ditunjukkan Faisal.
Tambahnya, protokol perubatan buat pemain berusia 26 tahun itu akan menjadi lebih ketat selain pihak hospital akan mengehadkan sebarang pendedahan dari luar.
Faisal dimasukkan ke hospital selepas mengalami serangan asid di sebuah pusat membeli belah sekitar Petaling Jaya, Selangor oleh pihak yang masih belum dikenal pasti.
Bagaimanapun, selepas menjalani dua proses pembedahan, keadaan kesihatannya semakin baik dengan pelbagai pihak bersedia untuk menghulurkan bantuan dari segi sokongan dan kewangan.
Jelas Hazwan lagi, terdapat kemungkinan rawatan 'skin allograft' yang dibawa masuk dari Belgium akan tiba pada minggu ini dengan perancangan sudah dibuat pihak perubatan.
"Seperti mana kita dimaklumkan pihak hospital, pembedahan yang seterusnya akan diadakan pada minggu ini. Jadi, itu sebabnya kita mahu lebih berwaspada untuk berikan yang terbaik buat Faisal," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram