FAM bimbang andai Arif Aiman jadi 'target' seterusnya


  • Podium
  • Rabu, 08 Mei 2024

Arif Aiman antara yang didakwa menjadi sasaran serangan jenayah seterusnya selepas Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan kebimbangan serius terhadap insiden serangan yang menimpa beberapa pemain kebangsaan sejak kebelakangan ini termasuk dakwaan ada sasaran pemain seterusnya.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya juga bimbang sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab menyasarkan pemain tempatan termasuk Arif Aiman Hanapi yang kononnya dikatakan bakal menjadi 'next target'.

"Sudah tentu pihak kami khuatir (andai ada lagi pemain jadi sasaran). Apa sahaja perkara yang tidak baik yang menjejaskan bola sepak negara, sudah tentu pihak kami bimbang," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: 'Kami beri love, Faisal Halim balas dengan matanya seolah tersenyum'

BACA LAGI: Akhyar kembali jalani latihan, dijangka beraksi lawan Penang FC

WhatsApp Image 2024-05-08 at 20.25.36

Saifuddin (kiri) bersama Hannah Yeoh ditemui pemberita selepas melawat Faisal Halim pada Rabu.

Di samping itu, badan induk bola sepak berkenaan turut memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk membendung perkara tersebut.

"FAM menyeru agar semua pihak memainkan peranan penting bagi membendung perkara serius tersebut.

"Saya rasa pihak berkuasa sedang berbuat sesuatu mengenai perkara ini hasil perbincangan saya dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail," katanya selepas ditemui pemberita selepas melawat Faisal Halim pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Terdahulu, Majoriti melaporkan terdapat dakwaan kononnya ada lagi pemain yang bakal menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab itu.

"3/5 Akhyar, 5/5 Faisal. 7/5 Safiq, 9/5 who's next? Seram lah pula. Ada yang kata Arif Aiman pula," kata dakwaan itu.

Sementara itu, Hamidin berkata, FAM kini memberi ruang kepada polis untuk menjalankan tugas bagi mengenal pasti individu yang tidak bertanggungjawab itu.

"Pihak polis sedang menyiasat secara menyeluruh perkara tersebut. Kita bagi ruang kepada pihak berkuasa untuk berbuat demikian," jelasnya.

Sebelum ini, dua pemain bola sepak negara, Akhyar Rashid dan Faisal Halim menjadi mangsa serangan jenayah yang mengakibatkan kecederaan masing-masing pada Khamis dan Ahad lalu.

Terbaharu, seorang lagi pemain, Safiq Rahim menjadi mangsa serangan selepas cermin keretanya dipecahkan dalam kejadian pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram