Berjuta duit dah habis, masa untuk tukar pengurusan FAM?


  • Podium
  • Ahad, 21 Apr 2024

Harimau Muda terpaksa melupakan hasrat ke suku akhir Piala Asia B-23 selepas tewas dengan keputusan 0-2 kepada Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan D. — Facebook/FAM

SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara 'berputih mata' untuk mara ke saingan suku akhir Piala Asia B-23 selepas tewas dengan keputusan 0-2 kepada Vietnam dalam aksi Kumpulan D di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar pada Sabtu.

Gawang yang dijaga penjaga gol, Azim Al-Amin 'dinodai' apabila pengadil menghadiahkan sepakan percuma kepada Vietnam dan menyaksikan Khuat Van Khang berjaya menjaringkan gol menerusi set piece mudah pada minit ke-39 perlawanan.

Pemain muda Malaysia terus membuat kesilapan memakan diri apabila pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul yang didakwa menjatuhkan Bui Vi Hao pada minit ke-58 membuatkan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam.

Peluang keemasan itu diguna sehabis baik oleh pemain gantian Vietnam, Vo Hoang Minh Khoa dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-60 sekali gus layak ke pusingan suku akhir Piala Asia B-23 2024.

Ia merupakan kekalahan kedua Harimau Muda di bumi Qatar selepas tunduk kepada Uzbekistan dengan keputusan 0-2 pada 17 April lalu. Nasib tidak memihak kepada Malaysia itu membuatkan semakin sukar untuk memburu slot ke pusingan seterusnya.

BACA LAGI: 'Ada peluang tapi tak cukup tajam', keeper Vietnam sampai 'injured' tepis serangan bertali arus Harimau Muda

WhatsApp Image 2024-04-21 at 11.31.35 (1)

Carta kedudukan Malaysia di saingan Piala Asia B-23. — Facebook/FAM

Kegagalan anak-anak buah Juan Torres Garrido di kejohanan berkenaan jelas menimbulkan kemarahan penyokong domestik yang memasang impian untuk menyaksikan mereka mewakili negara di Olimpik Paris 2024.

Ada yang mengkritik skil para pemain, tidak kurang juga yang mempersoalkan corak permainan Juan Torres. Namun, sesetengah penyokong juga menuding jari kepada cara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menguruskan pembangunan bola sepak negara.

Bola sepak negara tidak lagi menuai hasil memuaskan walaupun sudah berbelanja jutaan ringgit daripada dana yang diberikan kerajaan. Bukan hanya Harimau Muda, malah pasukan senior juga sekadar melengkapkan jadual pada saingan Piala Asia di Qatar.

Untuk rekod, awal tahun ini kerajaan setuju untuk meluluskan peruntukan khas sebanyak RM5 juta kepada FAM bagi mengurus pasukan bola sepak negara serta meningkatkan prestasi keupayaan mereka.

2022 pula menyaksikan FAM menerima sumbangan RM10 juta daripada pihak kerajaan sebelumnya bagi memastikan pembangunan bola sepak khususnya di peringkat akar umbi tidak terabai dan memastikan arena bola sepak Malaysia terus 'bernyawa'.

BACA LAGI: Bukan masa sesuai ganti KJ sebagai Presiden FAM — Pekan Ramli

kj

Khairy disebut-sebut menjadi calon baharu untuk menggantikan Datuk Hamidin Mohd. Amin.

"Jumudkan sukan bola sepak. Berpuluh tahun dah perancangan dan pelaksanaan serta berjuta-juta RM dah duit rakyat habis dibelanjakan untuk membangun dan memajukan sukan bola sepak tetapi hasil tidak ada," kata penyokong domestik, Hasnan Ibrahim.

"Kena tukar baru semua pengurusan FAM yang dah lapuk, baru boleh maju. Kalau tidak... memang di takuk lama, tidak akan maju punya," bagi penyokong tanah air, Samad Kassim.

"Tukar semua pengurusan, rancang pasukan 10 tahun lebih awal," pendapat yang dikeluarkan Safiesalihan.

Kritikan penyokong kepada pengurusan FAM itu menimbulkan persoalan adakah bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin atau KJ kini adalah orang yang tepat untuk memegang jawatan nombor satu bola sepak negara.

Laporan Harian Metro pada 17 April mendakwa terdapat khabar angin yang mengaitkan Khairy dengan jawatan presiden bagi pemilihan Presiden FAM tahun depan selepas timbulnya isu surat layang yang mendakwa wujudnya salah laku dalam pengurusan badan induk itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram