Jendela perpindahan dibuka, 3 punca kelab Liga M kerap 'recycle' bintang import


  • Podium
  • Khamis, 06 Jul 2023

Ifedayo merupakan salah seorang pemain import kitar semula yang menyertai Kedah. — Facebook/KDA FC

JENDELA perpindahan Liga Malaysia (Liga M) menambah kemeriahan suasana bola sepak di negara ini.

Kemasukan pemain import baharu ternyata memberi semangat buat penyokong setia pasukan masing-masing untuk turun ke stadium memberikan sokongan.

Semasa tempoh perpindahan, kebanyakan pasukan Liga M mengambil peluang untuk memperbaiki prestasi kelab masing-masing.

Tetapi kebanyakan pasukan lebih gemar menggunakan pemain import kitar semula kerana kekangan kewangan untuk berbelanja besar.

Untuk info, jendela perpindahan kedua Liga M musim ini dibuka pada 5 Julai sehingga 1 Ogos 2023.

Majoriti senaraikan tiga sebab utama kenapa pasukan Liga M kerap 'recycle' pemain import:

Logo baharu Liga Malaysia. Facebook

1. Status Liga Malaysia

Menjadi satu persoalan mengapa liga bola sepak seperti Thailand, Indonesia, Vietnam serta Singapura mampu menarik minat pemain import bintang berkelana di negara itu.

Seperti contoh, Lions City Sailors mampu membawa masuk pemain besar di Eropah seperti Diego Lopes dan Maxime Lestienne meskipun liga di Singapura tidak begitu kompetitif.

Jurang perbezaan kualiti Liga Malaysia dan Thailand dilihat semakin jauh apabila pemain-pemain sekitar Asia dan Eropah mula mengintai untuk beraksi di negara Gajah Perang itu.

Meskipun, kedudukan negara kita terletak di sebelah Thailand, namun Malaysia dilihat tidak berjaya menarik perhatian pemain import liga itu untuk beraksi dalam Liga Super.

Gambar hiasan.

2. Jimat kos

Kewangan menjadi sumber utama kelab untuk meneruskan operasi pasukan bagi membayar gaji pemain serta barisan kejurulatihan.

Liga Malaysia terkenal dengan kes tunggakan gaji sehingga melibatkan FIFA untuk mencampur tangan bagi menuntut hak pemain-pemain yang teraniaya.

Disebabkan itu, rata-rata pasukan Liga M lebih gemar mengambil pemain import sedia ada yang mana kita sudah mengetahui corak permainan import itu.

Dengan mengambil pemain import kitar semula ia sekali gus dapat menjimatkan kos untuk berbelanja lebih untuk membawa bintang baharu.

Pencari bakat JDT sedang memantau pemain cilik. Facebook

3. Tiada scouting

Kelab Liga M rata-ratanya tidak mempunyai pasukan 'scouting' untuk membawa pemain import bagi menyesuaikan diri dengan taktikal jurulatih.

Disebabkan itu, rata-rata pemain import tidak boleh serasi dengan taktikal dan tekanan Liga M.

Kebanyakan pasukan Liga M lebih gemar mengambil pemain import yang disyorkan oleh ejen yang dipilih mereka.

Senario mudah yang boleh diambil ialah salah seorang ejen Korea membawa pemain divisyen keempat menyertai salah satu pasukan Liga M. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram