JENTERA serangan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan sesebuah pasukan.
Sekiranya pengendali sesebuah pasukan itu terleka dalam membuat pilihan di barisan hadapan, pastinya ia akan memberi kesan buruk kepada kelab.
Tidak kira tua atau muda, sebagai penyerang, usia bukan penghalang untuk menjaringkan gol kerana yang lebih penting adalah 'instinct' bagi memastikan bola yang diterima dapat diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Tetapi ramai beranggapan bahawa khidmat kuda tua untuk barisan serangan tidak lagi relevan dalam bola sepak moden kerana ketangkasan, kelajuan dan skil amat penting untuk diterapkan dalam taktikal masa ini bagi mendapatkan jaringan.
Maka tidak hairanlah, banyak kelab terkemuka dunia menggunakan khidmat pemain muda di bahagian serangan. Lihat saja Manchester City dan Manchester United yang masing-masing meletakkan Erling Haaland yang berusia 23 tahun dan Rasmus Hojlund (20 tahun) sebagai penggempur.
Begitu juga dengan Real Madrid yang meletakkan sandaran kepada Alvaro Rodriguez (20) dan Vinicius Junior (23) di bahagian serangan.
Trend itu ternyata menjadi ikutan di Liga Malaysia apabila kebanyakan kelab kini semakin berani menggunakan khidmat pemain muda mengemudi di posisi getir pasukan.
Dalam pada itu, menerusi analisis Majoriti kali ini, terdapat tiga kelab Liga Malaysia (Liga M) yang boleh dikatakan sebagai 'hati kering' menggunakan khidmat pemain muda untuk mengetuai jentera serangan.
BACA LAGI: Aksi berdepan Oman, Safawi Rasid akui ada hikmah dapat 'loan' ke TFC
Afeeq Iqmal (kanan) dijangka bakal memperkuatkan jentera serangan Sang Kenari. — Facebook/KDAFC
1. Kedah Darul Aman FC
Pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air, Kedah Darul Aman (KDA) FC antara kelab yang mengambil jalan yang berbeza apabila mengutamakan anak jati di bahagian serangan.
Ia berikutan selepas kelab tersebut mengambil keputusan untuk melepaskan beberapa pemain import berkualiti seperti Manuel Hidalgo dan Ifedayo Olusegun yang banyak berbakti musim lepas untuk merobek kubu lawan.
Maka tidak hairanlah, Sang Kenari sanggup mengambil risiko untuk merekrut pemain dari kelab Liga M3, Afeeq Iqmal yang baru berusia 24 tahun bagi memperkuatkan jentera serangan.
Lebih menarik, kehadirannya adalah kepulangan semula ke Kedah selepas anak jati kelahiran Baling itu pernah mewakili Sang Kenari pada musim 2021 hingga 2022.
Syaahir Saiful Nizam dijangka berpotensi untuk mengetuai jentera serangan kelab tersebut. — Facebook/Sripahangfc
2. Sri Pahang FC
Selain Sang Kenari, Sri Pahang FC antara kelab yang mengambil jalan berbeza dengan menggunakan khidmat pemain muda.
Penyerang muda berusia 20 tahun skuad Tok Gajah, Syaahir Saiful Nizam dijangka berpotensi untuk mengetuai jentera serangan kelab tersebut.
Dua penyerang import iaitu Mykola Agapov dan Kpah Sherman yang sudah berusia lebih 30 tahun pastinya menjadi faktor Sri Pahang berani menggunakan penyerang muda seperti Syaahir Saiful untuk menjadi pemain sandaran.
Musim lalu, Sri Pahang hanya menggunakan khidmat Sherman untuk mengemudi bahagian depan Tok Gajah selepas penyerang kedua mereka, Lucas Silva terpalit dengan episod kecederaan dan agak berusia.
Faizal Talib(kiri) memaparkan prestasi yang baik semasa berkhidmat dalam skuad simpanan Sang Kenari. — Facebook/ KDA FC
3. Kelantan Darul Naim
Kelantan Darul Naim (KDN) tidak teragak-agak untuk membawa masuk pemain sayap dari Kedah yang dianggap masih muda, Faizal Talib menyertai kelab tersebut untuk musim 2024/25.
Pemain berusia 26 tahun itu berhasil memberikan dua jaringan gol dan dua hantaran jaringan buat pasukan KDA FC B selepas mengharungi tiga perlawanan bersama pasukan simpanan itu.
Pastinya kehadiran Faizal ke kelab Pantai Timur itu berpeluang untuk membantu memperbaiki jentera serangan KDN.
Meskipun ada yang beranggapan kualitinya masih belum terbukti, tekanan yang kurang daripada penyokong Kijang Emas akan memberi ruang buat pemain muda itu berkembang musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram