NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
DUA gol sulung Ramon Machado de Macedo, hakikat bahawa Richmond Boakye-Yiadom masih terkial-kial, Rafael Silva sekadar berjogging manakala kembalinya Ifedayo Olusegun hanya sebagus satu sepakan penalti...
Itu menjadi kesimpulan minggu pertama penampilan pemain import baharu selepas berlangsungnya tujuh perlawanan dalam minggu 16 Liga Super (LS16) – minggu pertama selepas jendela perpindahan kedua dibuka pada 5 Julai.
Sambil sebahagian pasukan sudah melengkapkan penambahbaikan, sebahagian lagi mungkin masih dalam proses tawar-menawar dengan ejen untuk membawa masuk import baharu manakala pasukan seperti Kuala Lumpur City (KLC) FC dan Negeri Sembilan FC awal-awal lagi mengumumkan untuk menutup jendela mereka.
Johor Darul Takzim (JDT) -- pasukan serba penakluk yang sudah pun sarat bintang -- terlepas menambah seorang lagi dengan keputusan Radamel Falcao melanjutkan kontraknya dengan kelab LaLiga, Rayo Vallecano, semusim lagi.
Namun, tidak banyak diketahui daripada Terengganu FC, Penang FC dan PDRM FC mengenai sasaran import baharu mereka menjelang tarikh tutup jendela perpindahan pada 1 Ogos nanti.
Machado merupakan salah seorang import baharu yang dibawa pihak pengurusan Sabah FC menjelang jendela perpindahan kedua musim ini. — Facebook/Sabah FC
Berbalik kepada minggu pertama selepas jendela perpindahan dibuka, pengiktirafan awal menjadi milik penyerang kelahiran Brazil, Ramon Machado, kerana dua jaringannya, termasuk gol dramatik pada saat-saat akhir untuk The Rhinos mengatasi Kuching City FC 4-3 di Kota Kinabalu pada Sabtu.
Dalam pada itu, seorang lagi import baru mereka, Miguel Cifuentes, pemain serba boleh yang didatangkan daripada Kelantan FC, hanya bertahan untuk satu separuh masa sebelum digantikan oleh Farhan Roslan.
“Ia sesuatu yang bagus untuk melihat Ramon menjaringkan dua gol dalam perlawanan pertamanya,” kongsi ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, dengan Laptop Cabuk.
“Ia akan memberikannya keyakinan (bersama pasukan barunya) di samping memberikan kami harapan. Saya harap dia akan terus konsisten dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.”
Di mana Sabah FC ceria, Kuching City FC (KCFC) pula berduka. Daripada tiga import baharunya, cuma penyerang, Pedro Henrique, dapat menghabiskan perlawanan manakala Bruno Dybal langsung tidak bermula kerana cedera dalam latihan.
Pemain tengah, Dechi Marcel, yang dibariskan dalam kesebelasan permulaan, hanya bertahan 50 minit sebelum diusung keluar. Tertakluk kepada ujian imbasan, khidmatnya bersama The Cats mungkin ditamatkan.
“Kecederaan lututnya nampak agak teruk. Jika dia memerlukan masa yang lama untuk pulih, kami mungkin mendapatkan pemain import lain untuk menggantikannya kerana jendela perpindahan masih dibuka,” kata ketua jurulatih KCFC, Irfan Bakti Abu Salim.
Malam tadi (Ahad) pula, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dirangsang penyertaan baharu Olusegun dan Moses Atede untuk menyemarakkan semula cabaran Sang Kenari, jelas bergelut untuk menembusi pertahanan PDRM FC di Cheras, Kuala Lumpur.
Kesudahannya, ia memerlukan dua sepakan penalti, masing-masing menerusi Olusegun (m-81) dan Lee Tuck (m-90) untuk mereka pulang berhabuankan kemenangan 2-0 dan tiga mata lagi sambil Atede menandai pengenalannya dengan kad kuning pada minit ke-65.
Perhitungan yang dinanti-nantikan di antara penyerang baharu Sri Pahang FC, Rafael, dan penyerang baharu Selangor FC, Boakye-Yiadom, di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Ahad, turut meleset.
Rafael, barangkali masih penat daripada penerbangan 30 jam dari Brazil kurang seminggu lalu dan hanya sempat berlatih tiga hari bersama pasukan baharunya itu, hanya masuk untuk 22 minit terakhir, itu pun menggantikan seorang lagi import baharu, Kuvondik Ruziev.
Ketua jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad, menawarkan alasan kedua-duanya memerlukan sedikit masa lagi untuk meningkatkan kecergasan dan menyesuaikan diri dengan pasukan sebelum dapat dipertimbangkan dalam kesebelasan utama.
Begitu juga Boakye, yang penampilannya dari minit ke-64 terbatas kepada hanya dua percubaan – satu tinggi melangit dan satu lagi rembatan rendah terus ke dakapan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin, untuk The Red Giants kempunan dengan keputusan 0-1 – kekalahan keempat mereka musim ini.
“Boakye turut serta dalam pasukan ke Kuantan tapi kami perlu melihat keadaannya dulu sebelum memutuskan senarai pemain,” kata ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, melalui pesanan WhatsApp pada petang Sabtu.
.
Boakye masih belum dapat menyesuaikan diri dengan Liga Malaysia. — Facebook/Selangor FC
Di sebalik kedua-dua pasukan tidak menampilkan import baharu, Negeri Sembilan wajar mendapat pujian kerana dapat mengekang JDT untuk sekadar menang 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.
Selepas kehilangan penyerang, Casagrande, kerana cedera selepas hanya 17 minit, Herold Goulon turut mengetepikan kesakitan pergelangan kakinya sejak awal untuk mengemudi barisan
pertahanan daripada membenarkan Fernando Forestieri, Diogo Luis Santo, Leandro Velazquez dan Arif Aiman Hanapi, dan kemudian Bergson da Silva dan Safawi Rasid, daripada melampiaskan nafsu jaringan mereka.
Keadaannya tidak banyak berbeza di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang di mana tuan rumah yang ketiadaan import baharu, unggul 4-3 ke atas Kelantan FC yang menampilkan muka baharu daripada skuad keduanya, Harith Akif Shahar, yang bernilai dua gol.
Terikat 3-3, kesudahannya terserah kepada pemain muda daripada Penang II, Alif Ikmalrizal Anuar, mencetak gol kemenangan pada minit ke-84 dan betapa ia sangat menghampakan buat jurulatih baru Kelantan FC, Angel Alfredo Vera.
Terdahulu, pada Jumaat, Perak FC menampilkan Jesper Nyholm dan Kim Kang-Hyun sebagai import baharu di pertahanannya. Tidak hairanlah mereka sekadar seri 1-1 dengan Kelantan United FC (KUFC) pada ketika seorang penyerang import dilihat lebih diperlukan The Bos Gaurus.
Skuad Kijang Hijau itu pula, di sebalik mengumumkan kemasukan empat import baharu, hanya menurunkan Ismaheel Akinade manakala tiga yang lain -- Kim Deok, Sirojiddin Rakhmatullaev dan Kim Min-kyu – tidak beraksi.
Barangkali beberapa minggu lagi diperlukan untuk import-import baru berkenaan menyerlahkan satu daripada dua perkara – sama ada memberi impak kepada pasukan baru atau ketibaan mereka adalah hasil tipu-daya ejen yang licik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram