
KEGAGALAN skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan dalam kempen Piala Asia B-23 menyaksikan penyokong mendesak supaya satu perubahan dapat diambil.
Antara cadangan yang dilontarkan adalah dengan mewujudkan semula skuad Harimau Muda yang pernah ditubuhkan untuk beberapa tahun demi pembangunan bola sepak negara.
Perkara itu turut diakui Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang setuju bahawa pengenalan semula Harimau Muda mampu membawa manfaat.
BACA LAGI: Tidak perlu letak jawatan, legenda desak FAM tangani masalah dihadapi Juan Torres Garrido
BACA LAGI: FAM gugurkan Damien Lim, Hong Wan dari kem latihan Harimau Malaya
Harimau Muda menjadi medan buat pemain muda beraksi dengan kerap.
Selain dapat mengumpulkan bakat-bakat muda, inisiatif Harimau Muda juga mampu menyediakan ruang buat pemain beraksi lebih kerap kerana pasukan itu pernah berentap di Liga Super dan Liga Perdana Singapura.
Idea berkenaan turut diakui bekas pemain pertahanan kebangsaan, Azmi Muslim yang mahu sasaran tepat ditetapkan sekiranya mahu melihat hasil terbaik disajikan.
"Kalau betul mahu wujudkan semula, kena lihat semula objektif dan sasaran kerana tidak boleh gagal kali ini. Semoga lebih banyak pelapis yang dapat dilahirkan untuk bola sepak negara kita," katanya menerusi laman X.
Harimau Muda pernah dipecahkan kepada pasukan A dan B pada 2009 dengan pembahagian tersebut dibuat bagi membolehkan Harimau Muda A fokus kepada penyertaan dalam kejohanan antarabangsa.
Hamidin percaya Harimau Muda mempunyai kelebihan buat bakat bola sepak negara.
Namun, kira-kira 10 tahun lalu, pasukan berkenaan akhirnya dibubarkan dengan FAM mengambil pendekatan berbeza untuk menggilap bakat muda di pelbagai lapisan umur.
Sepanjang kariernya, Azmi tidak pernah beraksi bersama Harimau Muda, namun pernah berada dalam skuad B-23 yang meraih pingat emas dalam Sukan SEA 2009 di Laos.
Di samping itu, pemain berusia 37 tahun berkenaan pernah beraksi sebanyak beberapa kali buat skuad kebangsaan dengan kekentalan dan kelantangannya cukup diperlukan.
Kini, bek tengah tersebut tidak lagi beraksi buat mana-mana pasukan selepas kali terakhir bersama PDRM FC musim lalu sebelum kontraknya ditamatkan akibat masalah dalaman.
Bagaimanapun, bekas kapten Selangor FC itu tidak pernah mengumumkan persaraannya, sekali gus membuka peluang buat mana-mana kelab tanah air menyambar khidmatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram