SKUAD Harimau Muda terpaksa pulang ke tanah air dengan tangan kosong apabila gagal meraih sebarang mata dalam aksi terakhir Kumpulan D Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23).
Kekalahan 1-2 di tangan Kuwait pada awal pagi Rabu itu sekali gus menutup cerita skuad muda kebangsaan dalam saingan Piala Asia di bumi Qatar.
Bercakap mengenai prestasi Harimau Muda tersebut, legenda Harimau Malaya, Reduan Abdullah berpandangan bahawa skuad B-23 kebangsaan tidak memiliki persediaan yang mencukupi.
"Kalau kita ada persediaan yang baik, kemungkinan keputusan berbeza.
"Kalau nak keputusan yang baik, Liga Malaysia (Liga M) kena berjalan, ketika ini liga belum bermula lagi dan ia mempengaruhi kecergasan pemain," katanya kepada Majoriti.
Reduan beranggapan corak permainan Harimau Muda perlu diperbaiki. — Agensi
BACA LAGI: Demi Sang Badak, fans Sabah sanggup panjat pokok di Keningau
Menurutnya, prestasi yang kurang cemerlang di bumi Qatar itu dipengaruhi oleh faktor kecergasan pemain dan saingan Liga M yang masih belum bermula.
"Tak sure macam mana pemilihan pemain yang dipilih adakah seseorang pemain itu berada dalam kecergasan yang baik atau tak.
"Kalau liga tak berjalan macam mana nak tahu pemain itu bagus atau tak, jadi match fitness antara faktor juga.
"Mungkin sebelum ini pemain yang dipilih menampilkan prestasi terbaik namun siapa tahu performance dia dah jatuh sebab tiada game beberapa bulan sebelum Piala Asia," jelasnya.
Di samping itu, Reduan turut berpendapat bahawa pengendali Harimau Muda, Juan Torres Garrido sudah membuat yang terbaik untuk skuad muda kebangsaan.
"Garrido mungkin nak buat yang terbaik tapi ada kekangan yang perlu dia hadapi juga antaranya dia tak dapat melihat current pemain punya performances sebab liga tak berjalan.
"Peletakan jawatan Garrido di tangan FAM, pada pandangan saya kita nak pergi jauh tapi kita tak fikir dalaman kita, liga kita macam mana," katanya.
Menurutnya, Liga Malaysia amat penting dalam melahirkan pemain yang akan menggantikan skuad senior pada masa akan datang.
"Liga kita penting untuk melahirkan pemain-pemain next level, kalau pemain B-23 tidak serius, macam mana nak cari pelapis.
"Liga B-23 kena kompetitif dan selari dengan Liga Super, kalau senior main 30 game, B-23 kena main 30 game yang sama juga," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram