Penyokong risau keselamatan pemain, tolak teori taktikal 'camouflage' JDT


  • Podium
  • Rabu, 08 Mei 2024

Keadaan cermin belakang kereta Safiq yang pecah akibat serangan yang berlaku pada Selasa malam.

TAK sampai seminggu rakyat Malaysia dikejutkan dengan kes simbah asid menimpa Faisal Halim, bekas pemain Harimau Malaya, Safiq Rahim pula menjadi individu terbaharu sasaran serangan jenayah melibatkan pemain bola sepak negara.

Menerusi satu hantaran di media sosial, kereta jenis Honda City milik pemain berpengalaman Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dilaporkan dipecahkan dengan tukul besi oleh dua individu tidak dikenali.

Ketika kejadian, bekas pemain tengah pasukan kebangsaan itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjalani latihan di Pusat Latihan JDT Sri Gelam, Johor Bahru, Johor, kira-kira pukul 10 malam Selasa.

BACA LAGI: Bimbang keselamatan pemain selain Faisal Halim terancam, Selangor mohon tunda Piala Sumbangsih

BACA LAGI: Masukkan dalam kontrak, kelab wajib sediakan 'bodyguard' buat pemain bintang

Berdasarkan laporan polis dibuat Safiq di Balai Polis Larkin pada pukul 11 malam Selasa, pembonceng motosikal terbabit kemudiannya mengeluarkan tukul besi sebelum mengetuk cermin bahagian belakang kereta terbabit.

Dua lelaki terbabit kemudiannya berhenti dan menunjukkan tukul ke arah Safiq yang seterusnya mengambil keputusan mengundurkan kereta sebelum beredar dari lokasi kejadian.

Kejadian menimpa bekas kapten pasukan kebangsaan itu membuatkan ada sesetengah penyokong menolak teori 'camouflage' membabitkan pasukan Selatan tanah air yang sebelum itu dikaitkan dengan insiden yang membabitkan pemain kebangsaan, Faisal Halim.

WhatsApp Image 2024-05-08 at 11.24.35

Faisal Halim kini dirawat di sebuah hospital swasta dan berada dalam keadaan stabil.

Sebelum ini, insiden menimpa Safiq itu disalah erti oleh sesetengah penyokong tanah air, yang mana mereka mengatakan kes melibatkan pemain JDT itu adalah taktikal 'camouflage' dari Harimau Selatan.

Bagi pemahaman penyokong, teori 'camouflage' merupakan taktik untuk menutup muslihat yang dilakukan dengan menjadikan diri sendiri sebagai mangsa bagi menarik perhatian dan seterusnya menutup kesalahan sendiri

"Nasib Copot (Safiq) masih baik sebab tidak dicederakan dari segi fizikal tapi kegilaan ni perlu dihentikan. Cukup-cukup dengan teori konspirasi masing-masing. Menuding jari pada satu pihak dengan alibi 'sumber dalam aku ada gambar tapi tidak berani nak post'. Cukuplah," kata penyokong, Minda Bernada.

"Bila CEO Selangor FC, Dr Johan kena ugut jadi sasaran simbahan asid seterusnya tiada pula cakap ini 'camouflage' daripada penjenayah. Ini Safiq kena serang, dah teori 'camouflage' keluar pula. Senang cerita ikut tekak anda saja nak cakap apa," bagi penyokong, FPL.Isasukey3II.

"Gila mereka ini. Jangan main spekulasi lah. Ini terkait nyawa orang ini, orang main bola saja kot," bagi penyokong, Hasyim.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan mengenai kejadian melibatkan Safiq tersebut.

Beliau berkata, polis sedang memburu suspek yang terlibat dalam insiden tersebut. Menurutnya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram