
PERANCANG baharu Penang FC, Neto Oliveira tidak mendapat kemenangan pertama yang diimpikan tetapi bintang import dari Brazil itu memberi kesan positif kepada penyokong selepas tampil dengan persembahan mengagumkannya pada aksi debutnya.
Neto diturunkan kali pertama sebagai pemain Harimau Kumbang ketika tewas 2-1 kepada Perak FC dalam aksi persahabatan pada Sabtu lalu dan membuatkan jurulatih, Akmal Rizal Rakhli berharap dia boleh menjadi tonggak utama untuk pasukan itu.
Pemain berusia 26 tahun yang menyertai Panthers dari kelab Brazil Trem DC itu adalah pemain terkecil di atas padang di Stadium City, Georgetown, Pulau Pinang namun dia membuat kesan yang besar dengan kemahiran dan hantaran tajamnya.
BACA LAGI: Bintang buangan Penang FC dilabel hero KDN FC lepas rencatkan persiapan Terengganu
BACA LAGI: Casagrande bukan naturalisasi Penang FC, disebut bakal perkuat Gergasi Merah
Arkitek kreatif berketinggian 1.64 meter (5'3') itu memberikan bantuan kepada Rafael Vitor untuk menjaringkan gol tunggal Pulau Pinang pada minit ke-62 selepas Perak mendahului 2-0 menerusi Firdaus Saiyadi (34) dan Clayton Silva (ke-83).
Neto menyertai Penang pada jendela perpindahan baru-baru ini. — Facebook/Penang FC
Oleh sebab itu, Akmal Rizal percaya pemain baharu yang lincah dan mampu beraksi sebagai pemain sayap atau penyerang tersebut akan membuat perubahan kepada pasukan pada musim baharu ini.
“Ia hanya perlawanan pertamanya dan ini juga kali pertama dia bermain di luar Brazil tetapi dia telah menunjukkan kualitinya sebagai playmaker. Neto mungkin hanya memerlukan satu atau dua perlawanan lagi untuk berada pada tahap terbaiknya.
“Saya telah melihat beberapa perlawanannya di Brazil melalui video, dan dia kelihatan seperti pemain yang boleh menyesuaikan diri dengan pasukan saya.
“Dia adalah penghubung antara bahagian tengah dan serangan. Menentang Perak, dia memberikan bantuan yang baik yang membawa kepada satu gol, dan itu petanda baik untuk perkara yang lebih baik akan datang," katanya.
Penampilan sulung pemain import baharu itu sememangnya ditunggu-tunggu peminat pasukan itu dengan dia dikatakan akan menjadi senjata baharu Penang FC mencapai sasaran kedudukan tujuh terbaik dalam Liga Super yang akan bermula minggu depan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram