PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa mengumumkan bahawa dua pemain yang dipanggil ke kem latihan Harimau Malaya, Damien Lim dan Hong Wan terpaksa digugurkan akibat isu kecederaan.
Kehilangan Damien Lim akan digantikan dengan penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC, Azri Ab Ghani sementara pencari buat Hong Wan masih sedang dicari.
"Azri akan menggantikan tempat penjaga gol Sabah FC, Damien Lim yang tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini selepas disahkan mengalami kecederaan.
"Namun, buat masa ini tiada sebarang penggantian pemain dari Senarai Bersedia bagi mengisi tempat Hong Wan untuk menjadikan skuad panggilan kali ini disertai seramai 25 orang pemain," katanya.
Azri Ghani dipanggil untuk menggantikan Damien Lim. — Facebook/FAM
Damien Lim sebelum ini dipanggil ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon di samping dua lagi penjaga gol, Syihan Hazmi serta Kalamullah Al-Hafiz.
Kecederaan ke atasnya pasti menjadi tamparan memandangkan pemain berusia 26 tahun tersebut masih belum merekodkan sebarang penampilan bersama Harimau Malaya.
Bagi Hong Wan pula, kecemerlangannya bersama Johor Darul Takzim (JDT) meletakkannya sebagai salah seorang pemain tengah muda bertahan terbaik negara.
Tetapi, persembahan konsisten itu masih belum cukup untuk memberikannya peluang lebih kerap dengan Pan-gon lebih gemar untuk menurunkan Brendan Gan di posisi berkenaan.
Harimau Malaya selepas ini bakal berdepan China dan Syria pada 6 dan 9 September dalam perlawanan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram