KHABAR gembira buat penyokong Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yang menjadi mangsa samun dan pukul, dijangka kembali turun menjalani sesi latihan di padang, minggu depan.
Perkembangan itu dikongsikan pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner yang meletak harapan yang tinggi untuk Akhyar, 25, kembali memperkuatkan pasukan pada perlawanan kedua Liga Super dalam aksi menentang Penang FC pada 19 Mei depan.
Menurut Steinbruckner, pemain tersebut menunjukkan tanda-tanda positif dan beransur pulih selepas menerima enam jahitan susulan insiden itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Akhyar kena samun di Kuala Terengganu, dipercayai kena pukul dengan cota
BACA LAGI: Faisal Halim makin stabil, Akhyar dah nak buka benang jahitan kepala
Bagaimanapun, Akhyar diberi cuti beberapa hari lagi untuk diberi ruang berehat sekaligus terpaksa diketepikan untuk aksi pembukaan Liga Super bertemu Perak pada Sabtu.
“Akhyar akan kembali ke padang usai aksi TFC menentang Perak dan akan diberi rehat beberapa hari lagi selepas kecederaannya sembuh dan mentalnya kembali stabil,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Tambah Tomislav lagi, dia dimaklumkan benang jahitan di kepala pemain itu akan dibuka dalam masa terdekat.
Pada 2 Mei lalu, Akhyar cedera di kepala dan kaki akibat disamun berdekatan kondominium kediamannya di Kuala Terengganu, Terengganu.
Berikutan kejadian itu, tonggak Harimau Malaya berkenaan menerima empat jahitan di kepala dan dua di bahagian kaki selain kerugian lebih RM4,800.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram