Faisal Halim makin stabil, Akhyar dah nak buka benang jahitan kepala


  • Podium
  • Rabu, 08 Mei 2024

Faisal (gambar kiri) dan Akhyar dilaporkan semakin pulih selepas masing-masing menjadi mangsa serangan jenayah pada Khamis dan Ahad lalu.

PEMAIN sayap Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim kini dilaporkan sudah semakin stabil selepas selamat menjalani pembedahan kedua pada Selasa.

Menurut wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, perkembangan terkini bintang bola sepak negara itu dikongsikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

"Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan Faisal Halim telah selesai jalani pembedahan kedua yang berlangsung selama 3 jam petang tadi (Selasa) dan keadaannya makin stabil," tulisnya menerusi ciapan di laman X.

BACA LAGI: Bimbang keselamatan pemain selain Faisal Halim terancam, Selangor mohon tunda Piala Sumbangsih

BACA LAGI: Masukkan dalam kontrak, kelab wajib sediakan 'bodyguard' buat pemain bintang

Faisal sebelum itu dilaporkan menjalani pembedahan peringkat dua di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor.

Pembedahan itu dilakukan selepas dua hari menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam.

Shahril sebelum itu juga memaklumkan Faisal dijangka berada dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sekurang-kurangnya selama 10 hari.

Dalam insiden serangan pada Ahad itu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah dengan asid oleh individu tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat beli belah dekat, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Dalam seorang lagi pemain kebangsaan, Akhyar Rashid yang menjadi mangsa serangan jenayah samun di Kuala Terengganu, Terengganu pada Khamis lalu dilaporkan turut semakin pulih daripada kecederaan dialaminya.

Perkara itu dimaklumkan oleh ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menerusi laporan Harian Metro pada Rabu.

Menurut Tomislav, dia dimaklumkan benang jahitan di kepala pemain itu akan dibuka dalam masa terdekat.

Dalam kejadian serangan pada Khamis itu, Akhyar yang dipinjamkan daripada Johor Darul Takzim (JDT) untuk beraksi bersama TFC pada musim ini mengalami menerima empat jahitan di kepala dan dua jahitan di kaki serta kerugian RM4,800. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram