JDT perlu elak badi 2017, Selangor boleh ambil inspirasi Kedah


  • Podium
  • Rabu, 08 Mei 2024

Pasukan JDT meraikan kejayaan memenangi Piala Sumbangsih 2023 selepas menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. — Facebook/JDT

SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/25 akan membuka tirainya dengan menyaksikan aksi Piala Sumbangsih antara dua pasukan gergasi tanah air iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada Jumaat (10 Mei).

Pastinya skuad kendalian Hector Bidoglio itu dilihat sudah cukup bersedia untuk kembali memegang gelaran juara musim ini selepas menjulang kesemua empat trofi semusim, atau juga dikenali sebagai 'quadruple' musim lalu.

Begitupun, Selangor FC tidak duduk diam apabila kini dilihat sudah menjalani latihan dan beberapa aksi pramusim sebagai persiapan menjelang aksi tersebut.

BACA LAGI: Bimbang keselamatan pemain selain Faisal Halim terancam, Selangor mohon tunda Piala Sumbangsih

BACA LAGI: Masukkan dalam kontrak, kelab wajib sediakan 'bodyguard' buat pemain bintang

Selangor FC

Selangor muncul juara kejohanan empat penjuru, Selangor Kusel Asia Challenge (SAC) 2024 pastinya mahu memberi saingan sengit kepada JDT aksi Piala Sumbangsih. Facebook/Selangorfc

Di atas kertas, JDT menjadi pilihan untuk bergelar juara aksi Piala Sumbangsih 2024 selepas musim 2023 turut memenanginya.

Bagaimanapun, melihat kepada perlawanan Piala Sumbangsih musim 2017, JDT pernah tewas di tangan Kedah dengan keputusan 5-4 menerusi sepakan penalti dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor.

Skuad kendalian Benjamin Mora ketika itu terpaksa menelan pahit selepas gagal meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Dalam pada itu, beberapa faktor sudahpun dikenal pasti ekoran kekalahan tersebut dengan JDT perlu waspada terhadap taktikal Selangor.

Berikut Majoriti menyenaraikan dua faktor yang perlu dititik beratkan oleh skuad kendalian Bidoglio sementara satu lagi buat Selangor dalam perlawanan itu nanti.

1) JDT guna pemain import

Jika melihat kepada taktikal ketika itu, Mora menggunakan pendekatan 4-2-3-1 dengan meletakkan pemain import baharu, Brian Fereirra dalam kesebelasan utama.

Keputusan Mora ketika itu dilihat kurang bijak kerana hanya satu gol berjaya dicetak dalam aksi tersebut sebelum diikat 1-1 oleh Kedah sehingga berakhir ke penentuan sepakan penalti.

Dalam pada itu, pengendali JDT, Bidoglio disarankan tidak mengambil risiko menurunkan wajah baharu sebagai kesebelasan utama dalam aksi tersebut.

Seperti yang diketahui, ketika ini JDT memiliki beberapa import baharu seperti Nicolao Dumitru, Francisco Geraldes dan Jalil Elias.

2) JDT perlu elak 'red card'

Bukan itu sahaja, JDT perlu mengurangkan layangan kad dalam aksi berkenaan bagi mengelakkan kekurangan pemain di atas padang.

Sekiranya itu berlaku, tentunya Selangor mempunyai peluang untuk mematahkan benteng pertahanan Harimau Selatan dengan mudah.

Layangan kad kuning atau merah perlu dielakkan bagi menjaga momentum permainan selain mental pemain lain tidak terganggu.

Berdepan Kedah, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas S Kunanlan dibuang padang, sekali gus memberi peluang kepada Sang Kenari untuk mengawal permainan.

3) Selangor perlu guna corak permainan keras dan lebih agresif

Berbeza pula dengan Selangor, pengendali Gergasi Merah, Nidzam Jamil disarankan untuk menggunakan corak permainan keras dan lebih agresif dalam aksi tersebut.

Sekiranya menggunakan corak permainan tersebut, Selangor dijangka mampu menyaingi kekuatan yang dimiliki oleh JDT.

Kedah berjaya membuktikan bahawa corak permainan keras dan agresif merupakan cara yang sesuai untuk menewaskan JDT.

Ia dapat dibuktikan apabila Sang Kenari ketika itu lebih menguasai perlawanan dengan memberi tentangan sengit yang agresif sehingga berjaya mengikat JDT 90 minit permainan.

Ketika ini, status perlawanan Piala Sumbangsih masih menimbulkan tanda tanya apabila Selangor pada Selasa dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pasukan itu memohon supaya ia ditunda atas faktor keselamatan pemain rentetan insiden yang menimpa Faisal Halim yang disimbah asid oleh dua suspek pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram