HARAPAN Manchester United untuk beraksi di pentas Eropah musim depan semakin tipis selepas mereka mengalami kekalahan kepada Crystal Palace pada awal pagi Selasa.
Dalam perlawanan berlangsung di Selhurst Park, skuad The Red Devils ketinggalan 0-2 pada babak pertama setelah Michael Olise dan Jean-Philippe Mateta masing-masing menjaringkan satu gol.
Derita mereka diteruskan pada separuh masa kedua setelah Tyrick Mitchell menjaringkan gol ketiga buat tuan rumah sebelum Olise sekali lagi menggegarkan gawang The Red Devils.
BACA LAGI: Pep Guardiola belum puas julang 5 kejuaraan EPL, Man City masih ada tugas belum selesai
BACA LAGI: Legenda Man United cadang pengendali kelab EPL ganti Ten Hag
Crystal Palace meraikan kemenangan bergaya mereka ke atas Manchester United. — Agensi
Keputusan penuh menyaksikan Manchester United mengalami kekalahan 0-4 dengan ia merupakan kali ke-13 mereka tewas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pengurus pasukan, Erik ten Hag boleh dikatakan cukup kecewa akan persembahan anak-anak buahnya dengan menganggap mereka layak menerima nasib sedemikian.
"Sebuah kelab seperti Manchester United perlu menampilkan aksi lebih baik. Ia adalah kekalahan yang sepatutnya dialami kerana persembahan sebegini tidak sepatutnya diberikan.
"Kita perlu bermain lebih baik selepas ini, kita perlu belajar daripada perlawanan ini dan bangkit. Bagaimanapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang sering memberi sorakan kepada kami," katanya.
Dalam perlawanan berkenaan, pemain tengah, Casemiro menjadi tumpuan apabila beberapa kali kehilangan bola sehingga membuka ruang buat Crystal Palace melancarkan serangan.
Casemiro dikritik hebat selepas persembahannya yang mengecewakan. — Agensi
Ketiadaan bek tengah juga memberi kesan terhadap benteng pasukan dengan Harry Maguire, Lisandro Martinez dan beberapa pemain lain di posisi itu bergelut dengan kecederaan.
Ketika ini, skuad The Red Devils berada di tangga kelapan EPL dengan dua mata dibezakan berbanding Newcastle United yang berada di slot ke Liga Konferensi Eropa UEFA (UECL).
Melihat kepada baki perlawanan, tugasan berat dipikul Manchester United apabila mereka bakal berdepan Arsenal dan Newcastle dalam dua aksi di tempat sendiri sebelum berkunjung ke Stadium Amex untuk bertemu Brighton & Hove Albion.
Bagaimanapun, harapan untuk ke Liga Eropa UEFA (UEL) masih terbuka sekiranya mereka dapat menjulang Piala FA dalam pertembungan akhir dengan Manchester City pada 25 Mei ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram