[VIDEO] Man United jadi mangsa konspirasi VAR, pengadil?


  • Podium
  • Ahad, 28 Apr 2024

Burnley menerusi Zeki Amdouni menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan terikat seri 1-1. — Agensi

PERLAWANAN antara Manchester United dan Burnley sekadar mencatat keputusan seri 1-1 di Stadium Old Trafford.

Masalah kecederaan yang masih menghantui Man United memaksa Erik Ten Hag untuk menggandingkan Casemiro dan Harry Maguire di bahagian pertahanan pasukan.

Burnley pula menurunkan kesebelasan terbaik dalam misi menumpaskan The Red Devils dengan membariskan David Fofana dan Lyle Foster di bahagian serangan pasukan.

Kedua-dua pasukan dilihat melakukan serangan demi serangan pada babak pertama namun gagal menyumbat masuk gol.

BACA LAGI: Baru pramusim, sudah ada senarai bintang import 'flop', bakal menyinar

BACA LAGI: Sudah tawan Hong Kong, Malaysia mesti tumbangkan Algeria demi tiket ke suku akhir

Bruno Fernandes yang mempunyai peluang untuk mencetak gol pada babak pertama aksi turut berdepan kesukaran untuk menembusi gawang Burnley.

Jaringan yang ditunggu-tunggu oleh penyokong Man United akhirnya tiba pada minit ke-79 menerusi Antony yang berjaya memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan Burnley.

Bagaimanapun, pada minit ke-85, Burnley dihadiahkan sepakan penalti setelah Andre Onana melakukan kekasaran terhadap Gudmundsson sewaktu mengeluarkan bola.

Pemain gantian, Zeki Amdouni tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan terikat seri 1-1.

Susulan itu, penyokong United terkenal iaitu Mark Goldbridge menyuarakan rasa tidak puas hati di laman X terhadap penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam setiap aksi yang membabitkan Man United.

"Setiap peminat bola sepak sepatutnya menyuarakan perkara ini sama ada Liverpool, Arsenal dan lain-lain.

"Ini bukan tentang lencana yang anda sokong tetapi tentang kemusnahan permainan kami.

"Sungguh mengecewakan apabila pegawai VAR membenarkan ketidakkonsistenan ini. Saya harap pihak pengurusan Man United lakukan sesuatu," kata Goldbrigde.

Ia susulan daripada kejadian pada minit-minit akhir perlawanan apabila pemain Man United mendakwa bahawa bola terkena tangan pihak lawan namun tidak diendahkan oleh pegawai VAR.

Perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1 antara Manchester United dan Burnley sekali gus memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Manchester United kekal di tangga keenam liga dengan 54 mata, manakala Burnley di tangga ke-19 dengan 24 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram