Pep Guardiola belum puas julang 5 kejuaraan EPL, Man City masih ada tugas belum selesai


  • Podium
  • Isnin, 22 Mei 2023

Manchester City menjulang piala Liga Perdana Inggeris buat kali ketiga berturut-turut di Stadium Etihad. — Instagram/ManCity

SEPANDUK di dalam Stadium Etihad, Manchester City pada Ahad dihiasi dengan gambar pengurus skuad The Cityzen dengan ayat ‘Pep Guardiola, dia mengubah bola sepak’.

Bekas tonggak pasukan kebangsaan Sepanyol itu sememangnya watak utama yang membantu Man City menjulang kejuaraan Liga Perdana buat kali kelima dalam enam musim berkhidmat.

Rekodnya dengan 11 kejuaraan liga dalam 15 musim sebagai pengurus Barcelona, ​​Bayern Munich dan kini City, jelas membuktikan kebolehannya.

Lima daripadanya dihasilkan bersama City dan dalam tiga minggu akan datang, Guardiola boleh membawa pasukan itu tahap yang lebih tinggi dengan memenangi Piala FA dan kemudian Liga Juara-Juara (UCL) untuk melengkapkan treble.

Guardiola menegaskan bahawa kerjayanya di City akan dinilai sama ada dia memenangi Liga Juara-Juara bersama pasukan itu dengan perlu menentang Inter Milan sebagai ujian terakhirnya di saingan UCL.

“Gelaran Liga Perdana kelima dalam tempoh enam tahun, saya tidak dapat bayangkan memenangi lima dalam enam tahun.

“Saya rasa kami telah melakukan sesuatu yang luar biasa tetapi untuk dianggap antara yang terhebat kami perlu memenangi Liga Juara-Juara, jika tidak ia tidak lengkap,” kata Guardiola kepada pemberita.

WhatsApp Image 2023-05-22 at 21.24.52

Guardiola bersama piala EPL kelimanya. — Agensi

City mengekori Arsenal dengan lapan mata sehingga beberapa minggu lalu dalam perlumbaan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia yang beraksi sebagai arkitek tengah ketika bergelar sebagai pemain bola sepak profesional berkata, apabila pasukan kendalian Mikel Arteta itu mencapai separuh mata dengan 50 mata dalam tangan, Guardiola menganggap mustahil untuk mengejar mereka.

Tetapi City seperti menemui senjata baharu dan memenangi 12 perlawanan berturut-turut ketika Arsenal berada dalam prestasi kurang memuaskan.

“Pusingan pertama liga, Arsenal mengumpul 50 mata dan saya merasakan mereka telah melakukan sesuatu yang istimewa.

"Kegigihan dan keengganan kami untuk berputus asa, perlu memenangi setiap perlawanan kerana kami perlu melakukannya,” kata Guardiola itu yang mengambil alih tugas sebagai pengurus City pada 2016.

Musim ini adalah kali ketiga Guardiola memenangi tiga kejuaraan liga berturut-turut, selepas melakukannya di La Liga dari 2009-11 dan di Bundesliga dari 2014-16.

Sementara itu, Guardiola juga menuntut standard tertinggi daripada pemainnya dan disebabkan itu pemain bertaraf dunia nampaknya menjadi lebih baik di bawah pengawasannya.

Jack Grealish, yang mengambil sedikit masa untuk mencari momentumnya di City dan jelas tidak dipercayai sepenuhnya oleh Guardiola pada musim pertamanya kini menjadi watak utama The Cityzen.

“Saya sebenarnya tidak boleh bercakap tinggi mengenai pengurus. Dia agak pelik dengan cara dia mengetahui segala-galanya.

“Dalam beberapa perlawanan, saya akan fikirkan: apa yang dia akan buat hari ini? Dan dia tampil dengan taktik berbeza setiap perlawanan. Seronok bekerja dengan dia. Saya sayang dia,” kata Grealish yang memberi persembahan mempesonakan untuk City musim ini.

Pemain serba boleh, John Stones berkembang daripada pemain pertahanan menjadi pemain tengah turut tampil memberi penghormatan kepada Guardiola.

“Kejuaraan ini sangat menyeronokkan, bermain dalam peranan berbeza, dalam posisi berbeza. Dia memberi saya pandangan baru,” kata pemain England itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram