[VIDEO] Sudahlah beraksi suam-suam kuku, Rashford terpedaya jadi pelaris artis UK


  • Podium
  • Rabu, 01 Mei 2024

Rashford hanya merekodkan tujuh penampilan dalam kesemua pertandingan musim ini. — Agensi

TUJUH gol dan lima bantuan jaringan yang dicatatkan penyerang Manchester United, Marcus Rashford dalam kesemua pertandingan musim ini boleh dianggap satu pulangan suam-suam kuku daripada pemain terbabit.

Dia yang diharapkan dapat menjadi watak utama sepanjang berada di bawah kendalian Erik ten Hag gagal mempamerkan prestasi terbaik untuk membantu mereka berada di tahap lebih baik.

Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong terus mendesak agar pemain antarabangsa England itu meninggalkan kelab tersebut pada jendela perpindahan akan datang.

Namun, masih terdapat segelintir peminat setia skuad The Red Devils yang mahu peluang terus diberikan kepada penyerang 26 tahun berkenaan memandangkan dia merupakan produk akademi mereka.

Tetapi, hubungan Rashford dengan juara 13 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) itu semakin terkesan baru-baru ini apabila dia kelihatan dalam satu klip pendek di samping seorang artis United Kingdom, Meekz Manny.

BACA LAGI: Haaland tidak gembira di Manchester, kelab EPL tarik nafas lega

BACA LAGI: 'Ibarat kera di hutan disusukan', fans bengang padang elok seolah-olah untuk legenda EPL, bukan HM

Dalam video berkenaan, penyerang tersebut didapati sedang melayani muzik baharu daripada penyanyi itu di dalam Rolls Royce difahami milik Meekz.

Kelakuannya itu sekali gus menyaksikan rata-rata penyokong The Red Devils semakin muak akan sikap sementara ada yang lain mempersoalkan semangatnya untuk terus berada di atas padang.

Malah, peminat turut berasakan Rashford seakan-akan dipergunakan artis berusia 27 tahun itu untuk menarik perhatian akan lagu baharu yang bakal dimuat naik tidak lama lagi.

Penyokong turut mendesak supaya penyerang berkenaan dapat menilai kembali persahabatannya di luar padang kerana dikhuatiri hanya akan mengganggu prestasinya sepanjang musim.

Berdasarkan khabar angin di media sosial, Rashford dikatakan berada dalam radar Paris Saint-Germain dengan Manchester United bersedia untuk menerima yuran perpindahan serendah £21 juta (RM125 juta) bagi melepaskannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram