INSIDEN dialami dua tonggak skuad kebangsaan, Faisal Halim dan Akhyar Rashid sudah tentu meninggalkan kesan mendalam terhadap peminat bola sepak tempatan.
Mereka yang kini masih mendapatkan rawatan berdepan ketidaktentuan dalam karier masing-masing dengan kejadian dialami sudah tentu sukar dilupakan.
Malah, persoalan juga timbul mengenai keterbukaan kedua-dua pemain itu untuk kembali ke atas padang selepas mengalami episod gelap dalam kehidupan.
BACA LAGI: Insiden jenayah babitkan Faisal, Akhyar cetus kegusaran pemain — PFAM
Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Tanda tanya berkenaan sudah tentu turut bermain dalam kalangan penyokong yang masih berharap Akhyar dan Faisal dapat kembali ke keadaan terbaik sebelum meneruskan karier masing-masing.
Bagaimanapun, bagi pensyarah di Jabatan Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Shaharudin Abdul Aziz, tragedi sedemikian sudah tentu meninggalkan 'parut' dari segi mentaliti pemain itu.
"Ia sudah tentu akan memberi kesan, terutamanya kepada Faisal Halim kerana berdasarkan laporan terkini, dia terpaksa menamatkan karier. Jadi, jikalau dikatakan dia sembuh sekali pun, saya rasa trauma itu masih ada," katanya kepada Majoriti.
Jelasnya lagi, terdapat kemungkinan besar sukar buat mereka pulih 100 peratus meskipun ada dalam kalangan individu mengalami nasib sedemikian mampu bangkit.
Dalam insiden pada Khamis lalu, Akhyar menjadi mangsa samun di Terengganu, sehari selepas menyambut hari kelahirannya yang ke-25 bersama kenalan dan keluarga.
Pada Ahad pula, Faisal yang kini beraksi buat Selangor FC berdepan nasib sama apabila disimbah cecair asid di sebuah pusat beli belah ternama sekitar Selangor.
BACA LAGI: Tomi belum tekan butang panik, 2 nama disebut jadi pengganti sementara Akhyar Rashid
Akhyar mengalami kecederaan akibat kejadian samun menimpanya.
Penyerang bertubuh kecil itu dijangka terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi buat beberapa bulan, termasuk perlawanan Piala Sumbangsih dan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Menurut Shahrudin lagi, kesan daripada dua tragedi itu pasti akan menghantui mereka, sekali gus menutup peluang penyokong untuk melihat mereka kembali seperti dahulu.
Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu mendesak Akhyar dan Faisal Halim supaya tergesa-gesa mendapatkan rawatan psikologi kerana mereka lebih mengetahui tahap tersendiri.
"Akhyar dan Faisal sendiri perlu menerima keadaan itu dan jika perlukan bantuan, dia akan pergi sendiri dan kita tidak perlu mengarahkan atau memujuknya.
"Jika 'tuan badan' masih belum terima nasib tersebut, akan timbul konflik. Oleh itu, kita perlu beri ruang untuk masing-masing bermuhasabah dan berikan sokongan sekiranya diperlukan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram