Tiada usul Selangor FC tarik diri, 60 peratus undi tak perlu main Piala Sumbangsih


  • Podium
  • Selasa, 07 Mei 2024

Aksi Piala Sumbangsih antara Gergasi Merah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dijadualkan pada Jumaat ini di Stadium Sultan Ibrahim. — Facebook/JDT

INSIDEN simbah asid yang menimpa Faisal Halim mengundang persoalan sama ada perlawanan Piala Sumbangsih antara Selangor FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat akan diteruskan atau tidak.

Ini kerana ada penyokong membangkitkan soal keselamatan pemain selain mencadangkan perlawanan itu tidak perlu diteruskan sebagai tanda solidariti terhadap pemain lincah kelahiran Pulau Pinang itu yang bergelut di wad rawatan rapi akibat kecederaan yang dialaminya.

Pada Ahad lalu, arena bola sepak tanah air dikejutkan dengan kejadian malang menimpa Faisal sehingga dilaporkan tonggak Selangor FC itu mengalami kecederaan fizikal di beberapa anggota badan akibat simbahan cecair berkenaan.

Susulan kemalangan berkenaan, penyokong rata-ratanya terutama pemain ke-12 Selangor FC bersolidariti menggesa Gergasi Merah menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih pada Jumaat ini.

BACA LAGI: Tak lupa kawan lama, bekas import Sri Pahang doakan Faisal Halim

BACA LAGI: Hamidin saran pemain guna khidmat pegawal peribadi

Dalam satu undian dilakukan oleh laman penyokong tegar Gergasi Merah, Selangorfans_official, sebanyak 60 peratus peminat bersetuju untuk melihat kelab Lembah Klang berkenaan mengangkat bendera putih.

WhatsApp Image 2024-05-07 at 11.58.52

Tangkap layar undian penyokong mengenai cadangan Selangor tarik diri daripada Piala Sumbangsih.

Keputusan majoriti daripada penyokong Gergasi Merah itu juga pastinya dibuat kerana kebimbangan mereka terhadap keselamatan pemain dan kakitangan kelab selepas beberapa individu Selangor FC menerima ancaman sama.

Memetik laporan The Star, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon dan ketua jurulatih, Nidzam Jamil menjadi sasaran seterusnya. Ia dipercayai merupakan sebahagian daripada cara menganggu persiapan skuad Selangor.

Namun begitu, kem Selangor FC tampak tidak pantang menyerang apabila perkembangan terkini melaporkan bahawa tiada usul tarik diri dibuat oleh kelab berkenaan dan sekali gus menunjukkan Gergasi Merah masih ingin memberi saingan kepada Harimau Selatan.

johan

Difahamkan, seorang pegawai menyampaikan maklumat kepada Johan yang dia bakal menjadi mangsa seterusnya selepas pergi melawat Faisal di sebuah hospital swasta dekat Damansara.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh pemerhati sukan tanah air, Fina Nasrom menerusi laman X pada Selasa yang memberitahu Gergasi Merah ingin mendapatkan sokongan penuh mengenai keselamatan mereka.

"Selangor FC dalam perbincangan untuk mendapatkan sokongan dari semua pihak khusu faktor keselamatan pemain, jurulatih dan pasukan ketika saingan Piala Sumbangsih. Usul tarik diri tiada dalam perbincangan," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan keadaan Faisal semakin membimbangkan kesan daripada kelecuran tahap empat.

Beliau memaklumkan bahawa tangan kiri pemain sayap itu sukar untuk bergerak dan sekali gus menimbulkan persoalan masa depannya kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram