Lagi suspek ditahan, tangan kiri Faisal Halim tiada reaksi, percakapan terbatas


  • Podium
  • Selasa, 07 Mei 2024

Keadaan awal Faisal Halim selepas mengalami serangan asid pada Ahad lalu.

PIHAK polis berhasil menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes simbah asid yang menimpa penyerang sayap kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah dekat Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Ahad lalu.

Perkembangan baharu berkenaan dikongsikan oleh wartawan TV3 iaitu, Mohd Redzuan Abdul Manap yang mana memaklumkan bahawa setakat ini polis sudah menahan dua suspek bagi membantu siasatan.

Hantaran pada laman Twitter (X) tersebut turut memaklumkan keadaan terkini pemain Selangor FC, yang difahamkan pertuturan tonggak kebangsaan itu semakin terbatas akibat kecederaan dialaminya.

BACA LAGI: Kenapa nak tutup mulut Faisal Halim semata-mata jadi jujur?'

BACA LAGI: Ini adalah Malaysia, kami ada karakter dan mentaliti juara — Faisal Halim

"Kes simbah asid terhadap Faisal Halim. Seorang lagi suspek ditahan menjadikan dua orang ditahan setakat ini. Faisal yang alami melecur tahap 4 kini berada di unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan.

"Dilaporkan percakapan pemain kebangsaan itu terbatas akibat kecederaan dialami," memetik hantaran X tersebut.

Memetik laporan Harian Metro, lelaki itu difahamkan berusia dalam lingkungan 30-an dan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya pada Selasa bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, laporan The Star yang menghubungi Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan suspek berkenaan akan direman selama lima hari sehingga Sabtu depan.

Beliau turut mengesahkan bahawa kes berkenaan diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Sebelum ini, Hussein mengesahkan berjaya menahan seorang suspek berusia lingkungan 20-an pada Isnin dan penyiasat juga dijangka menemu bual beberapa lagi saksi pada Isnin bagi memudahkan siasatan.

WhatsApp Image 2024-05-07 at 10.56.31

Faisal Halim mungkin terpaksa melupakan kariernya akibat kecederaan serius menimpa dirinya itu. — Facebook/FAM

Penyerang sayap berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan fizikal di beberapa anggota badan akibat simbahan cecair berkenaan dengan isterinya turut terkesan dalam serangan tersebut.

Berdasarkan laporan, suspek mensasarkan wajah pemain itu dengan orang ramai beranggapan tindakan tersebut adalah untuk menamatkan karier bola sepaknya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan keadaan Faisal semakin membimbangkan kesan daripada kelecuran tahap empat.

Beliau memaklumkan bahawa tangan kiri pemain sayap itu sukar untuk bergerak dan sekali gus menimbulkan persoalan masa depannya kelak.

"Seperti dimaklumkan bahawa sememangnya Faisal berada dalam keadaan kritikal dan kini hanya saya dan isterinya saja dibenarkan untuk melawat.

"Namun, selepas dipindahkan hospital dan rawatan susulan mendapati lecuran berada pada tahap empat.

"Sedih saya melihat keadaannya ketika ini, kerana dia ada beritahu bahawa terasa sakit seperti terbakar di dalam kulit dan mengerang kesakitan," katanya memetik laporan Harian Metro.

Susulan kesan daripada insiden simbah asid itu juga, tangan kiri Faisal menerima kesan yang teruk dan kini berada dalam pemantauan rapi pihak hospital.

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Fina Nasrom yang memaklumkan bahawa tangan kiri pemain itu tiada tindak balas.

Sebelum ini, penyokong tanah air meluahkan kebimbangan mereka mengenai kondisi Faisal dan semakin akur mengenai kemungkinan pemain itu terpaksa melupakan karier dalam dunia bola sepak demi kesihatan dan keselamatannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram