KECEDERAAN menimpa Faisal Halim akibat simbahan asid dalam kejadian yang berlaku pada Ahad berisiko menjadi serius kepada pemain Selangor FC itu.
Situasi kecederaan disebabkan bahan kimia seperti asid akan menyebabkan kerosakan yang teruk. Namun tahap kerosakan bergantung kepada tahap kecederaan dan anggota tubuh yang terlibat. Demikian penjelasan oleh pegawai perubatan, Dr Firdaus Shahar.
Hal ini kerana, menurutnya, ia bergantung kepada jenis asid yang digunakan dalam insiden tersebut bagi menentukan tempoh mangsa akan sembuh daripada kesan cecair kimia itu.
Menurut Firdaus, secara asasnya, jika jumlah asid yang mengenai mangsa itu adalah banyak, maka ia mengambil masa lama untuk pemain itu sembuh.
BACA LAGI: Hamidin saran pemain guna khidmat pegawal peribadi
BACA LAGI: Sasar pemain dan pengurusan, ada yang mahu jatuhkan kem Selangor?
Katanya lagi, asid yang jenis kuat atau mempunyai nilai kepekatan (concentration) tinggi akan menghasilkan kecederaan lebih serius.
"Kecederaan akibat disimbah asid kita kelaskan sebagai burnt injury. Secara asasnya, jika makin teruk kecederaan itu, makin lambat untuk seseorang itu sembuh.
"Teruknya kecederaan asid itu bergantung kepada luas permukaan asid itu kena pada badan, makin luas, makin teruk kecederaan itu.
"Asid yang mempunyai concentration tinggi akan menentukan kesan kepada kulit. Lagi tinggi concentration, lagi dalam asid itu akan memasuki lapisan kulit," kata Firdaus kepada Majoriti.
Firdaus turut mengatakan yang setiap anggota badan memberikan reaksi berbeza kepada simbahan asid yang diterima. Bahagian seperti muka misalnya akan memberikan kesan yang lama atau lebih malang, kekal selamanya.
Malah, jika asid yang mempunyai concentration tinggi digunakan, ia boleh memberi kesan kepada sendi sekali gus membuatkan mangsa hilang kelincahannya atau agility.
"Jika terkena pada muka, ia akan ambil masa lama untuk sembuh, malah boleh jadi kekal. Kalau di tangan, ia boleh cepat sembuh.
"Jika berlaku di badan dan asid mengenai sendi, ia boleh menyebabkan tulang sukar untuk bergerak, dan memberi kesan kepada seseorang seperti mereka tidak selincah dulu.
Faisal Halim (kanan) terkenal dengan kelincahannya beraksi di posisi sayap.
"Perlu diingat, sembuh daripada simbahan asid bukan bermaksud sembuh sepenuhnya seperti sedia kala. Tetapi, mangsa cuma tidak lagi rasa sakit dan luka sudah tiada. Kulit tidak semestinya balik seperti asal," ujar Firdaus.
Tambahnya, kesan terhadap mental akibat simbahan asid turut akan menyebabkan seseorang itu trauma dan merentap keberaniannya. Malah keyakinan akan menurun lebih-lebih lagi jika asid disimbah ke muka.
"Kesan terhadap mental pasti teruk, rasa takut juga akan muncul.
"Jika asid terkena kepada muka, mereka boleh akan hilang keyakinan diri baik lelaki atau wanita. Jika terkena pada anggota tangan dan kaki, akan timbul kerisauan mampukah mereka untuk bekerja selepas ini," jelas Firdaus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram