Tomi belum tekan butang panik, 2 nama disebut jadi pengganti sementara Akhyar Rashid


  • Podium
  • Sabtu, 04 Mei 2024

Steinbruckner bagaimanapun masih mempunyai dua pemain yang boleh menggantikan posisi Akhyar buat sementara waktu. — Facebook/Terengganufc

KEM Terengganu FC (TFC) ketika ini berdepan situasi sukar apabila pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid dilaporkan disamun pada Khamis.

Pemain sayap kiri Sang Penyu itu mengalami kecederaan di kepala, kaki kiri dan lengan kiri dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu selepas kejadian itu.

Dengan kempen Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula pada 10 Mei nanti, pastinya timbul kebimbangan sekiranya Akhyar diketepikan daripada menjalani latihan bersama Sang Penyu.

BACA LAGI: [VIDEO] Aksi sengit liga tertangguh seketika, pengadil tinggalkan padang angkara sakit perut

Akhyar Rashid

Akhyar ditenangkan oleh kakaknya, Rashidah (kanan) dan dua lagi kenalannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Akhyar kena samun di Kuala Terengganu, dipercayai kena pukul dengan cota

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, belum ada keputusan Akhyar diketepikan atau tidak dalam aksi pertama Liga Super berdepan Perak FC pada 11 Mei depan.

"Tunggu dan lihat, saya mendapat maklumat mengenai kejadian itu daripada kelab. Pada masa ini, dia belum boleh berlatih lagi. Dia tidak turun beraksi dalam perlawanan persahabatan terakhir kami menentang Kelantan Darul Naim FC.

“Ia adalah situasi yang serius untuknya, jadi kita akan lihat apa yang perlu kita lakukan.

"Ketika ini saya tidak boleh memberi sebarang keputusan jika dia boleh bermain untuk perlawanan pertama menentang Perak.

“Saya harap dia kembali tetapi kita akan tunggu dan lihat. Kesihatan Akhyar adalah penting pada masa sekarang," katanya.

Insiden Akhyar itu memberi tamparan kepada kelab berkenaan kerana mereka juga terpaksa berdepan kecederaan penyerang utama Ivan Mamut, bek tengah Matthew Steenvorden, bek kiri Safwan Mazlan dan bek kanan Azam Azmi Murad.

Mamut dan Steenvorden dijangka kembali dalam tempoh tiga minggu, manakala Safwan dan Azam kini kembali menjalani latihan penuh tetapi masih dalam pemantauan sama ada mereka cergas untuk perlawanan pertama menentang Perak.

Steinbruckner bagaimanapun belum mahu menekan butang panik meskipun beberapa pemainnya mengalami kecederaan ketika ini.

"Pemain yang cedera ketika ini merupakan tonggak utama pasukan tetapi saya mempunyai pemain lain yang boleh menjadi pengganti untuk mereka.

“Sebagai contoh Mamut, dia adalah pemain utama kami musim lalu, jadi kecederaannya dirasai tetapi kami mempunyai Ismaheel Akinade.

“Akinande mempunyai pengalaman Liga Super dan daripada perlawanan pramusim yang kami lalui, dia menunjukkan kualiti yang baik.

"Selain itu, kami juga mempunyai penyerang muda Syahmi Zamri yang boleh menggalas tugas di bahagian serangan.

“Jika Akhyar tiada, kami masih mempunyai pemain sayap lain seperti Norhakim Hassan dan Nik Sharif Haseefy.

“Sudah tiba masanya untuk pemain pelapis menunjukkan yang mereka mampu menjadi tonggak utama pasukan. Saya mengharapkan prestasi maksimum daripada semua pemain dalam skuad," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram