BOLA sepak Malaysia ditimpa malang apabila dua pemain kebangsaan, Faisal Halim dan Akhyar Rashid diserang oleh individu tidak dikenali beberapa hari sebelum saingan domestik bermula.
Akhyar menjadi mangsa pertama selepas pemain itu disamun dan dicederakan dekat Terengganu pada 2 Mei. Terkini, Faisal disimbah asid dekat pusat membeli belah di Damansara pada 5 Mei.
Kedua-dua pemain dijangka akan berehat beberapa bulan dan berkemungkinan Faisal serta Akhyar tidak dapat dipanggil membantu Malaysia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Jun ini.
BACA LAGI: Faisal Halim kena simbah asid di pusat beli belah
BACA LAGI: Lebih 2 orang samun Akhyar Rashid — Polis
Perkhabaran berkenaan dua pemain tersebut telah sampai ke luar negara hinggakan ia mendapat perhatian di negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura serta Korea Selatan.
Jadi, tidak hairan sekiranya bekas pemain Sri Pahang FC, Chan Vathanaka turut mendapat berita buruk ini terutamanya mengenai Faisal.
Vathanaka yang merupakan rakan sepasukan Faisal sewaktu mereka bersama-sama Tok Gajah pada 2018 turut menzahirkan simpati terhadap Faisal dengan dia berharap bintang Harimau Malaya itu akan segera sembuh.
"Saya mendengar berita buruk mengenai kami, saya harap semuanya tiada masalah. Harap kamu akan segera sembuh, Mickey," kata Vathanaka di laman Instagramnya.
Untuk rekod, Vathanaka hanya bermain setengah musim bersama-sama Sri Pahang sebelum meninggalkan Tok Gajah pada Mei 2018.
Selain Sri Pahang, dia turut beraksi untuk PKNS FC pada 2019 meninggalkan kelab tersebut juga pada pertengahan musim tahun tersebut.
Kini, pemain berusia 30 tahun itu beraksi untuk Boeung Ket di negara asalnya iaitu Kemboja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram