Bakal jadi 'free agent', Richard Chin ada pilihan kekal di Eropah demi prestasi atau 'downgrade' ke Liga M untuk peroleh minit permainan


  • Podium
  • Ahad, 05 Mei 2024

Richard Chin dilepaskan oleh Charlton Athletic pada akhir musim ini. — Agensi

PEMAIN warisan negara, Richard Chin perlu mencari kelab baharu bagi musim 2024/2025 selepas namanya di tidak dikekalkan oleh kelab England, Charlton Athletic.

Richard yang kini dipinjamkan di kelab divisyen enam England, Bath City, perlu mencari kelab baharu bagi meneruskan karier bola sepaknya.

Terdapat beberapa potensi yang diterokai oleh Richard untuk memastikan karier bola sepaknya terus berjalan dengan potensi beraksi di Eropah atau Asia boleh menjadi destinasi seterusnya bagi pemain 21 tahun itu.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan meneroka tiga pilihan yang boleh Richard ambil untuk memastikan kariernya terus menyala.

BACA LAGI: Bergambar bersama Jalur Gemilang, Richard Chin tunggu masa sarung jersi Harimau Malaya

53521357253_ea29f05094_c

Richard beraksi bersama Bath City yang bermain di divisyen enam England. — Agensi

Kekal beraksi di Eropah

Richard mempunyai peluang untuk terus kekal di Eropah supaya dia dapat memastikan kariernya berada di tahap terbaik. Dia boleh pilih untuk kekal di England tetapi mungkin kesukaran akan menimpa kerana persaingan sengit mendapatkan kelab di sana.

Dia juga boleh menimbangkan potensi beraksi di Scotland jika mahu kekal di Kepulauan British. Dengan bakatnya, Richard berpotensi beraksi dalam saingan Scottish Premiership atau Scottish Championship.

Selain itu, Richard boleh meneroka peluang beraksi dalam saingan Eropah yang lain seperti ke liga domestik Denmark, Sweden atau Switzerland yang lebih teknikal permainannya berbanding England yang mengutamakan fizikal.

Keputusan Charlton memberitahu Richard yang masanya sudah berakhir bersama mereka lebih awal adalah bijak. Pasti sekarang ini dia bersama ejennya sedang hangat mendapatkan kelab baharu.

Teroka bola sepak Asia

Jika rezekinya bukan di Eropah, Richard boleh meneroka potensi beraksi di Asia dengan beberapa liga dilihat sesuai dengan bakatnya.

Mungkin sukar untuk Richard mendapatkan tempat di liga seperti Liga Pro Saudi atau J.League (Jepun), tetapi dia boleh mencuba nasib mendapatkan tempat bersama-sama kelab Korea Selatan.

Selain saingan K-League, bakat Richard juga berpotensi untuk dipandang oleh kelab-kelab di Australia atau pun pasukan utama Thailand.

Jika Richard berjaya mendapatkan tempat di salah sebuah kelab dari tiga negara dimaksudkan, dia berpotensi dapat mengembangkan bakatnya menggunakan rencah bola sepak Asia yang akan memberi manfaat kepada Harimau Malaya kelak.

BACA LAGI: Kehadiran Richard bawa persaingan sihat, undang pujian rakan sepasukan HM

325768058_2095535303973477_4499413651386955338_n

Dion Cools adalah pemain warisan negara yang beraksi di Thailand. — Buriram United

Beraksi di Malaysia

Ini mungkin keputusan yang amat sukar untuk Richard jika dia memilih untuk beraksi di Liga Malaysia. Ia ibarat downgrade daripada berada dalam sistem bola sepak England kepada beraksi di negara ini.

Bukan hendak mengecilkan kualiti bola sepak kita, tetapi siapalah Liga Malaysia jika hendak dibandingkan dengan saingan-saingan utama di Eropah dan Asia? Jurangnya masih luas.

Tambahan pula, Richard masih muda dan ada masa untuk mencari peluang baharu dan menghidupkan semula kariernya baik di Eropah atau liga utama Asia.

Akan tetapi, jika diberi pilihan untuk beraksi di Malaysia, kelab seperti Johor Darul Ta'zim dan Selangor FC boleh menjadi destinasi sesuai kerana kedua-duanya mempunyai kemampuan serta fasiliti untuk menjaga prestasi Richard.

Namun begitu, mahukah dia downgrade dengan beraksi di sini? Dia ada pilihan perlu dibuat. Kekal di Eropah dan prestasi akan terjaga atau pulang ke Malaysia serta memperoleh minit bermain yang banyak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram