Liga hampir mula, Selangor ambil risiko sertai kejohanan jemputan di Indonesia?


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mei 2024

Selangor dilaporkan akan menyertai kejohanan jemputan di Indonesia. — Selangor FC

KELAB Liga Super, Selangor FC akan menjadi tumpuan terutamanya pada 10 Mei ini apabila mereka turun berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Dengan beberapa persiapan dilakukan menerusi aksi pramusim di Thailand serta kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2024, skuad kendalian Nidzam Jamil semakin bersedia berdepan Harimau Selatan.

Namun begitu, timbul perkhabaran mengatakan yang Selangor bakal terbang ke luar negara iaitu Indonesia untuk beraksi dalam kejohanan jemputan di sana.

BACA LAGI: Contohi Stuart Wilkin, Gary Steven Robbat mahu bawa Sabah kuasai Top 3 Liga Super

BACA LAGI: [VIDEO] “Ambik kau!” Perang saraf Nur Izzuddin berjaya robohkan mental beregu Jepun

Menurut siaran sebuah stesen televisyen terkemuka Indonesia, RCTI, Selangor dikatakan menjadi salah satu daripada empat kelab yang bakal beraksi dalam pertandingan dikenali sebagai RCTI Premium Sports International Football Tournament.

Selain Selangor, dua kelab Indonesia dijemput iaitu Persija Jakarta, PSIS Semarang dan wakil Vietnam iaitu Hanoi FC.

Namun begitu, masih belum dapat dipastikan bilakah tarikh kejohanan ini akan diadakan. Dikhabarkan, ia mungkin diadakan sekitar Mei atau Jun.

Satu tarikh yang dilihat sesuai untuk diadakan pastinya Ketika FIFA Matchday pada Jun. Pada Waktu itu, majoriti aksi bola sepak kelab akan terhenti kerana memberikan ruang untuk pasukan-pasukan kebangsaan beraksi.

Dengan musim Liga Malaysia akan bermula tidak lama lagi, Selangor dilihat mengambil risiko menerima jemputan untuk beraksi di kejohanan tersebut.

Hal ini kerana, ia mungkin akan mengundang kecederaan dalam kalangan pemain Selangor. Benar, para pemain boleh menerima minit permainan tambahan tetapi jika kecederaan berlaku pada perlawanan bukan kompetitif, ia akan memberikan implikasi besar kepada Selangor.

Sudah pasti, Selangor tidak mahu para pemain seperti Faisal Halim, Alvin Fortes atau Umar Eshmurodov mengalami kecederaan dek kerana pertandingan itu.

Oleh itu, Selangor harus fikirkan sedalam-dalamnya sebelum bersetuju untuk menyertai pertandingan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram