SELEPAS mencipta kemenangan sensasi bertemu Jepun pada suku akhir Piala Thomas, Malaysia kini boleh bermimpi untuk cuba menulis semula sejarah dengan menjulang kejuaraan tersebut yang kali terakhir dibuat pada 1992.
Namun begitu, halangan yang menanti bukannya mudah. Berdepan tuan rumah iaitu China, Malaysia berdepan cabaran getir untuk diharungi pada aksi separuh akhir pada Sabtu pukul 5 petang waktu tempatan.
Sebelum ke separuh akhir, Malaysia sudah berdepan kesukaran beraksi menentang Denmark. Walaupun tewas tipis, tetapi terdapat beberapa perkara yang membuka pekung kelemahan skuad negara.
Oleh itu, analisis ringkas Majoriti akan melihat bagaimana kekalahan bertemu Denmark boleh dijadikan rujukan Malaysia untuk turun berdepan gergasi badminton iaitu China.
BACA LAGI: Sedekad kekalahan 2014, mampukah Malaysia akhirnya raih gelaran Piala Thomas?
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin akan jadi sandaran Malaysia mendapatkan mata berdepan China. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star
Denmark beri bayangan awal
Perlawanan berdepan Hong Kong serta Algeria nyata bukanlah tugasan terlalu sukar untuk diharungi skuad negara berbanding Denmark yang merupakan jaguh Eropah.
Bertemu Denmark, barulah kita nampak kelemahan skuad negara. Terdapat jurang yang agak besar dari segi kualiti pemain perseorangan tetapi barisan beregu dilihat mampu bersaing.
Pertemuan antara Lee Zii Jia dengan Victor Axelsen menjadi bukti di mana terdapat jurang antara kekuatan dua pemain. Malah, Leong Jun Hao turut mengalami masalah untuk bersaing rapat dengan Anders Antonsen pada aksi perseorangan kedua.
Denmark memberikan kepada Malaysia gambaran awal bagaimana rasanya bila berdepan lawan lebih kuat di pusingan kalah mati. Jika mereka tidak mengambil iktibar daripada pertemuan tersebut, pasti masalah akan tiba semasa menentang China.
Pemain utama wajib bangkit
Dengan tekanan semakin meninggi di peringkat separuh akhir, sudah pasti cabaran bukan saja untuk fizikal tetapi mental juga.
Pada waktu ini, sudah pasti harapan diletakkan kepada para pemain utama untuk tidak tewas sekali gus menghadiahkan mata penting buat Malaysia.
Pemain-pemain seperti Zii Jia dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mesti bangkit apabila mereka telah tewas pada dua perlawanan penting sebelum ini.
Zii Jia tewas kepada Axelsen sementara gandingan Aaron-Wooi Yik tumpas sewaktu bertemu gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada suku akhir.
Kedua-dua pemain ini wajib bangkit berdepan China. Bagi mereka yang meraih kemenangan, ini bukan lesen untuk mendabik dada dan leka sebaliknya mesti terus konsisten demi mencapai kemenangan.
BACA LAGI: Siti Nurshuhaini tak patut dijadikan 'kambing hitam' punca tersingkir Piala Uber
Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah ketika Malaysia bertemu Jepun. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star
Kita di sini kerana merit
Mungkin ada yang berpendapat, Malaysia bukanlah pasukan yang mempunyai barisan himpunan bintang dan hebat jika hendak dibandingkan dengan China atau Denmark.
Namun begitu, kita berada di sini ada sebabnya. Sebabnya adalah Malaysia sendiri mempunyai merit untuk menjadi salah satu daripada empat pasukan terbaik di Piala Thomas.
Apa yang penting, kita harus yakin dan percaya, Malaysia boleh melakukannya walaupun berdepan lawan lebih sukar dalam misi memburu trofi.
Skuad 2014 yang layak ke perlawanan akhir juga tidak lengkap kekuatannya tetapi masih mampu mencipta kejutan demi kejutan. Masa inilah, skuad 2024 tonjolkan taring dan bawa pulang kejuaraan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram