TMJ, KPG luah rasa simpati buat Faisal, Akhyar


  • Podium
  • Ahad, 05 Mei 2024

Beraksi bersama dalam skuad kebangsaan, dua pemain kebangsaan ditimpa nasib malang. — Facebook/FAM

PEMILIK kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mengecam insiden yang membabitkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dan Akhyar Rashid.

"Saya mengecam kejadian yang melibatkan pemain bola sepak, Faisal Halim dan Akhyar Rashid susulan keselamatan serta kesejahteraan mereka diganggu oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.

"Saya berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat kes-kes tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: Faisal Halim kena simbah asid di pusat beli belah

BACA LAGI: [VIDEO] Akhyar kena samun di Kuala Terengganu, dipercayai kena pukul dengan cota

Dalam masa yang sama, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon turut meluahkan rasa simpati kepada anak-anak buahnya yang ditimpa nasib malang itu.

Pan-gon dilihat turut memuat naik semula kenyataan yang dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di laman rasmi Instagram peribadi miliknya.

"Semoga cepat sembuh, Akhyar Rashid dan Faisal Halim," tulis kenyataan tersebut.

Akhyar Rashid

Insiden yang membabitkan Akhyar Rashid pada 2 Mei lalu apabila dia diserang dan dirompak.

Pada Ahad, bintang Selangor FC, Faisal atau dikenali sebagai Mickey itu mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badannya selepas disimbah asid.

Faisal dilaporkan diserang ketika berada di sbeuah pusat beli belah terkemuka di Damansara kira-kira pukul 5 petang.

Sementara itu, pada Khamis lalu, pemain kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain terbabit mengalami kecederaan.

Difahamkan, suspek melarikan telefon bimbit dan dompet pemain tersebut sebelum melarikan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram