
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berasa kesal dan sedih ke atas dua insiden berasingan yang membabitkan dua pemain skuad Harimau Malaya, Akhyar Rashid dan Faisal Halim.
"Sama-sama kita seluruh penyokong bola sepak tanah air dan rakyat Malaysia mendoakan semoga Akhyar dan Faisal cepat sembuh dan kembali dapat beraksi.
"FAM juga berharap supaya individu-individu yang bertanggungjawab terhadap insiden ini dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
BACA LAGI: Faisal Halim kena simbah asid di pusat beli belah
BACA LAGI: Kes simbah asid, Selangor FC tagih sokongan moral peminat, minta hormati privasi Faisal Halim
FAM menyeru agar seluruh penyokong bola sepak tanah air dan rakyat Malaysia mendoakan semoga Akhyar dan Faisal cepat sembuh dan kembali dapat beraksi. — Facebook/FAM
Pada Ahad, industri bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita kurang baik apabila pemain sayap skuad kebangsaan, Faisal atau dikenali sebagai Mickey dilaporkan disimbah asid.
Susulan itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Najwan Halimi memaklumkan Faisal mengalami kelecuran tahap dua.
“Keadaan Faisal stabil namun mengalami kelecuran tahap dua di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada," katanya.
Sebelum ini, pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid dilaporkan mengalami kecederaan di kepala gara-gara menjadi mangsa samun.
Pemain Terengganu pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul oleh suspek yang masih diburu pihak berkuasa.
Dalam perkembangan lain, dua individu bermotosikal sempat mengucapkan 'good luck' sebelum menyimbah asid kepada pemain sayap negara, Faisal Halim, demikian difahamkan oleh sumber.
Faisal ketika itu sedang membawa keluarganya ke sebuah pusat membeli-belah di Damansara sebelum dua individu berkenaan menghampirinya.
Semakan terhadap nombor kenderaan yang digunakan merupakan nombor kenderaan palsu dan motosikal itu dipercayai motosikal curi.
Kes itu kini dalam siasatan pihak polis dan Faisal sedang mendapatkan rawatan segera di sebuah hospital di Damansara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram