KDN sedia guna teknologi AI perketat kawalan sempadan — Saifuddin


  • Primer
  • Ahad, 05 Mei 2024

Anggota PGA sedang berkawal di sempadan Malaysia-Thailand di pos kawalan Wang Kelian, Perlis. — ZHAFARAN NASIB/The Star

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang merangka strategi bagi meningkatkan penggunaan teknologi terutamanya melibatkan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuhkan kawalan sempadan negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada masa ini agensi tunggal yang menyelia kawalan sempadan adalah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA).

Menurutnya, penekanan khusus terhadap penggunaan teknologi terkini melibatkan AI perlu diadaptasi bagi memperkukuh lagi tadbir urus dan fungsinya.

BACA LAGI: Remaja lelaki ditemui lemas ketika memancing di Sungai Tapah

BACA LAGI: Bersatu gesa SPR ambil tindakan pihak salah guna gambar Agong

"Sekarang kita dah ada MCBA, jadi bagaimana kita nak manfaatkan teknologi dan inovasi dalam bidang kawalan sempadan?

"Oleh kerana itu, KDN sangat teruja untuk melihat aspek sekuriti ini semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas meninjau persiapan terakhir pempamer DSA dan NATSEC Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Ahad.

WhatsApp Image 2024-05-05 at 17.12.29

Saifuddin (tengah) menegaskan bahawa penekanan khusus terhadap penggunaan teknologi AI perlu diadaptasi bagi memperkukuh lagi tadbir urus. — Facebook/KDN

Pameran berkenaan akan berlangsung selama empat hari bermula esok dan hanya terbuka kepada delegasi peringkat tinggi, penjawat awam, profesional dan eksekutif dalam industri pertahanan dan keselamatan serta polis dan agensi penguatkuasaan.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, tiga negara akan membuat penampilan sulung sebagai pempamer dalam DSA dan NATSEC Asia 2024 iaitu Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UEA) dan Iran.

Beliau berkata, secara keseluruhannya DSA dan NATSEC Asia 2024 menerima penyertaan daripada 1,324 syarikat dari 60 negara manakala 34 negara akan mempunyai Pavilion sendiri antaranya Turkiye, China, UAE, Itali dan Amerika Syarikat.

Turkiye sekali lagi muncul sebagai kontinjen terbesar pada pameran ini dengan hampir 70 syarikat dari negara itu mengesahkan penyertaan termasuk Aselsan, CANiK, Dearsan Shipyard dan Turkish Aerospace Industries.

Bagi syarikat tempatan pula, antara yang akan mengambil bahagian ialah DEFTECH, Advanced Defence System, OpenApps, MILDEF, Sapura, Malvus Sense, Weststar Group, Nadi Corp, SME Ordnance, System Consultancy Services dan Mindmatics. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram