PADA Isnin, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa Financial Fair Play (FFP) akan dilaksanakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula musim ini.
FFP diperkenalkan bagi membantu kelab-kelab Liga M untuk lebih berhemah dalam berbelanja dan mengelakkan pasukan daripada ditimpa masalah kewangan.
Tahun pertama FFP dalam Liga M dilihat sebagai tahun pengenalan untuk memantau pembayaran gaji pemain dan pegawai yang menjadi isu utama dihadapi dalam liga serta meningkatkan tanggungjawab kelab dalam memastikan kestabilan kewangan yang kukuh.
Badan pengelola liga itu juga akan terus memantau dan melaksanakan FFP untuk tahun-tahun berikutnya demi memastikan kelab-kelab mampu bertahan untuk jangka masa panjang terutama dari segi kewangan.
BACA LAGI: Ex-Kedah, PDRM legakan Aidil Sharin persiap Kuching City
Datuk Pekan Ramli berpendapat bahawa pelaksanaan FFP belum mampu menyelesaikan masalah tunggakan gaji. — Astro Arena
BACA LAGI: 'Ibarat kera di hutan disusukan', fans bengang padang elok seolah-olah untuk legenda EPL, bukan HM
Bercakap mengenai pelaksanaan FFP sekiranya memberi impak kepada pasukan besar seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC, penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berpandangan bahawa peraturan itu tidak memberi kesan kepada kelab berkenaan.
"Pada pandangan saya, pelaksanaan FFP untuk musim 2024/25 ini tidak banyak memberi impak yang berbeza kepada semua pasukan baik JDT mahupun Selangor. Ini kerana semua 13 pasukan sudah pun diluluskan lesen bertanding musim ini.
"Pasukan yang berbelanja besar seperti JDT, Selangor FC malah Terengganu FC adalah pasukan yang setakat ini tidak bermasalah hingga ke hujung musim dalam menyelesaikan pembayaran gaji pemain dan lain-lain.
"Jadi, kemungkinan untuk pasukan seperti JDT dan Selangor untuk gagal memenuhi peraturan dalam FFP hingga menyebabkan mereka didenda atau dipotong mata itu adalah sangat minimal," katanya kepada Majoriti.
Bukan itu sahaja, Pekan juga menjelaskan bahawa pelaksanaan FFP tersebut dilihat masih belum mampu menyelesaikan masalah tunggakan gaji.
"Walaupun FFP dilaksanakan pada musim ini saya dapat rasakan isu gaji ini tidak akan selesai apabila akaun musim ini ditutup nanti.
"Sekarang pun ada pasukan yang telah mula menjalani latihan sejak Februari tahun ini hingga April masih belum menerima gaji.
"Jadi, sudah pastilah corak bayaran gaji pemain secara beransur-ansur hingga melangkau tahun tetap akan berlaku apatah lagi musim ini bermula lewat dan akan merentas hingga pertengahan tahun 2025 nanti.
"Jika FFP betul-betul dikuatkuasakan dan semakan terhadap kemampuan bayaran gaji dan lain-lain mengikut apa yang telah diputuskan dalam kontrak, mungkin ada pasukan-pasukan yang akan ditolak pungutan mata atau didenda jumlah wang tunai di pertengahan liga nanti," kongsinya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram