INDUSTRI bola sepak tanah air digemparkan dengan kejadian malang menimpa pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yang cedera dipukul dengan sebatang besi boleh laras oleh dua lelaki dalam kejadian bermotifkan samun di Kuala Terengganu, Terengganu pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, Akhyar cedera di kepala, kaki kiri dan lengan kiri ketika dia baru tiba di kawasan kediamannya, selepas selesai sesi latihan bola sepak di stadium di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.
Kejadian itu menyebabkan Akhyar mengalami pendarahan di ubun-ubun selepas terdapat koyakan kecederaan kira-kira empat sentimeter (cm) sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.
Pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) tersebut terpaksa menerima empat jahitan di bahagian ubun kepala serta dua jahitan di bahagian kaki kiri selain mengalami bengkak di lengan kiri.
Selepas dua hari berdiam diri mengenai detik hitam tersebut, pemain berusia 25 tahun itu akhirnya tampil mengeluarkan kenyataan dengan mengucapkan terima kasih kepada yang mendoakan kesihatannya.
Tangkap layar Insta Story Akhyar.
"Assalamualaikum. Pertama sekali terima kasih kepada yang mendoakan kesihatan saya. Alhamdulillah semua baik. Semoga kita di bawah lindungan dan rahmat ALLAH SWT. Amin.
"Semoga pelakunya diberika petunuk dan Hidayah oleh-NYA," tulis Akhyar di laman Insta Story pada Sabtu.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menyatakan bahawa akan berhubung dengan pengurusan Sang Penyu bagi memahami apa yang telah berlaku kepada pemain kelahiran Kedah itu.
"MFL akan berhubung dengan kelab bagi memahami apa yang telah berlaku tetapi lebih sesuai sekiranya kelab sendiri yang membuat kenyataan," katanya memetik laporan Stadium Astro.
BACA LAGI: [VIDEO] Akhyar kena samun di Kuala Terengganu, dipercayai kena pukul dengan cota
Stuart ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian bersama Hong Leong MSIG Takaful selaku antara penaja baru ketika ditemui di ibu negara pada Jumaat.
Dalam pada itu, kehadiran penaja baharu berkenaan juga membuktikan bahawa saham Liga Malaysia (Liga M) tetap bernilai tinggi meskipun kerap dikritik dan terpalit dengan beberapa kontroversi terutama isu tunggakan gaji.
"Kita mempunyai 12 penaja yang sudah sah dan tiga kali di dalam rundingan terakhir. Kami rasa apabila liga bermula kita akan mempunyai 13 penaja dan dua lagi akan masuk dalam suku musim kerana terdapat perbincangan perundangan yang kami perlu menghormati.
"Kami harap pada musim ini kami akan mempunyai 15 penaja secara keseluruhannya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram