SELANGOR FC terus memperkuatkan pasukannya menjelang perlawanan pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila membawa masuk penyerang import baharu, Reziq Bani Hani.
Ia selepas pasukan dari Liga Jordan, Al Faisaly SC mengumumkan perpisahan dengan penyerang muda Jordan itu yang akan menyertai Selangor pada Jumaat.
Al-Faisaly turut mendoakan kejayaan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada penyerang muda Jordan itu yang bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.
BACA LAGI: Kuda tua berbisa, JDT antara 3 pasukan hargai pemain otai musim depan
Perpindahan di minit-minit akhir sebelum jendela perpindahan Liga Super ditutup itu bagaimanapun belum diumumkan secara rasmi oleh pihak pengurusan Selangor.
Untuk rekod, pemain berketinggian 1.79 meter (m) itu sempat membantu pasukan Al-Faisaly dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) sekali gus memberikan kelebihan buat Gergasi Merah bagi menghadapi ACL 2 musim ini.
Selangor sebelum ini memastikan gelaran Cabaran Asia Selangor (SAC) 2024 menjadi milik mereka selepas menumbangkan juara Liga Laos, Young Elephants FC 4-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada 28 April lalu.
Dua kemenangan berturut-turut dilakar anak buah Nidzam Jamil itu membolehkan mereka mengungguli saingan dengan 14 mata keseluruhan selepas kemenangan ke atas Young Elephants FC membantu mereka menambah tujuh lagi mata.
BACA LAGI: Vincent Bezecourt ancaman besar Selangor sebelum bertemu JDT
Sebelum itu, mereka sudahpun mengutip tujuh mata hasil kemenangan besar 4-0 ke atas wakil dari Brunei, DPMM FC pada aksi pertama, 26 April lalu.
Kurang seminggu lagi, pasukan Liga Super akan memulakan kempen baharu Liga Malaysia (Liga M) dengan perlawanan pertama di antara dua gergasi bola sepak negara iaitu JDT dan Selangor FC pada 10 Mei nanti.
Aksi sulung Liga Super itu dijangka menjadi tumpuan seluruh negara apabila pemenang juga bakal menjulang Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, selain memberikan tiga mata penuh buat pemenang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram