MUSIM baharu bagi Liga Malaysia (Liga M) tidak lama lagi dengan perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Selangor FC membuka tirai kancah bola sepak tempatan pada 10 Mei ini.
Bermula musim baharu, pastinya akan terikatnya perjanjian antara Malaysian Football League (MFL) dengan para penaja menerusi kerjasama yang dimeterai.
Bagi saingan musim 2024/2025, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, musim ini Liga M akan bermula dengan kerjasama melibatkan 15 buah syarikat.
BACA LAGI: Lepas bangkit dari cedera, Gary Steven Robbat mahu bawa Sabah kuasai top 3 Liga Super
BACA LAGI: Siti Nurshuhaini tak patut dijadikan 'kambing hitam' punca tersingkir Piala Uber
Namun begitu, tidak semua kerjasama itu telah pun dimeterai, Stuart mendedahkan yang masih terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan sebelum ia boleh dikatakan sebagai done deal.
"Kami ada 12 (penaja) yang telah sah, manakala tiga lagi dalam rundingan terakhir. Berkemungkinan semasa liga bermula akan ada 13 penaja yang sudah sah bersama kami.
"Baki dua penaja akan menyertai kami selepas liga bermula sekitar suku pertama liga sebab masih lagi ada perbincangan dalam hal berkaitan perundangan serta prosesnya perlu kami hormati. Kami harap dalam musim 2024/2025 akan ada dalam 15 penaja secara keseluruhan," kata Stuart.
Stuart berkata demikian kepada para media selepas majlis menandatangani kerjasama antara MFL dengan Hong Leong MSIG Takaful di Damansara, Selangor pada Jumaat.
Hong Leong MSIG Takaful bersetuju untuk menjadi penaja Liga M dengan perjanjian dimeterai selama semusim.
Musim ini juga akan menyaksikan kejohanan bola sepak di Malaysia akan mempunyai penaja bagi kejuaraan tersebut atau title sponsor. Dilaporkan terdapat sebuah syarikat gergasi bakal menjadi title sponsor sebuah pertandingan pada musim ini iaitu Piala FA.
Untuk rekod, kali terakhir penajaan berbentuk title sponsor adalah pada 2022 melibatkan syarikat telekomunikasi iaitu TM menaja saingan Piala Malaysia.
Penajaan sebuah syarikat petroleum itu dijangka akan diumumkan oleh MFL dalam masa terdekat. Namun begitu, Stuart mengesahkan saingan Liga Super tidak akan mempunyai title sponsor.
"Tiada, kita kemungkinan ada title sponsor untuk satu piala. Itu antara dua peluang yang kita lepaskan apabila tiada title sponsor untuk liga dan satu lagi piala.
"Kami harap dalam rundingan yang sedang berjalan, kami dapat memperoleh satu penaja yang sudi memberikan sumbangan besar buat bola sepak Malaysia," ujar Stuart. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram