Sedekad kekalahan 2014, mampukah Malaysia akhirnya raih gelaran Piala Thomas?


  • Podium
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Skuad Piala Thomas Malaysia kecewa tewas di perlawanan akhir pada edisi 2014. — Agensi

SAINGAN Piala Thomas kembali lagi dengan Malaysia sekali lagi cuba untuk mendakap trofi kejuaraan yang telah lama tidak dirasa.

Hingga kini, Malaysia masih lagi terpaut kepada memori kejuaraan yang diraih pada 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Sejak daripada itu, kita masih ternanti-nanti kejuaraan yang tidak kunjung tiba.

Detik paling hampir untuk kita akhirnya meraih Piala Thomas adalah pada 2014. Bertemu Jepun di perlawanan akhir, peluang itu ada untuk Malaysia mendapatkan kejuaraan. Malangnya, ia tidak berlaku.

Dalam bingkisan sempena Piala Thomas 2024, Majoriti mengimbau semula bagaimana peristiwa sedekad lalu begitu hampir menghadiahkan gelaran keenam buat negara.

Persembahan memukau

Hadir sebagai pilihan ketiga, Malaysia mencipta persembahan menyakinkan bermula dari peringkat kumpulan dengan Datuk Lee Chong Wei mengetuai cabaran negara.

Selain Chong Wei, Malaysia turut diwakili perseorangan Chong Wei Feng, Darren Liew serta gandingan beregu Hoon Thien How-Tan Boon Heong dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Di peringkat kumpulan, Malaysia muncul juara kumpulan C dengan memenangi kesemua perlawanan bertemu India, Jerman dan Korea Selatan.

BACA LAGI: AFL perkenal kuota pemain import, gaji terhad RM15,000 sahaja — Yusoff Mahadi

553 (8)

Lee Chong Wei merupakan sandaran utama negara pada Piala Thomas 2014. — Agensi

Persembahan cemerlang di peringkat kumpulan diteruskan pada peringkat kalah mati apabila Malaysia berjaya menepis cabaran Denmark di suku akhir dengan kemenangan 3-1.

Puncak kehebatan Malaysia ketika itu adalah ketika separuh akhir apabila skuad negara melakar kemenangan 3-0 ke atas musuh tradisi iaitu Indonesia.

Dekat tapi jauh

Berdepan Jepun yang merupakan pilihan keempat kejohanan pada waktu itu, Malaysia dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas.

Malaysia bermula langkah kanan apabila Chong Wei berjaya meraih mata pertama dengan menewaskan Kenichi Tago 21-12, 21-16. Namun begitu, perjuangan meraih piala bukannya mudah kerana Jepun menyamakan kedudukan menerusi gandingan beregu Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa yang menumpaskan Thein How-Boon Heong 12-21, 21-17, 21-19.

Perseorangan kedua, Kento Momota memberikan pendahuluan buat Jepun apabila mudah menewaskan Wei Feng 21-15, 21-17. Malaysia kembali bernafas apabila gandingan V Shem-Wee Kiong menewaskan Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 19-21, 17-21, 21-12.

thomaas (2)

Gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong berjaya menyelamatkan negara di perlawanan akhir. — Agensi

Tugas besar buat Darren apabila dia wajib menang aksi terakhir bagi menentukan kejuaraan. Berdepan Takuma Ueda, perlawanan perseorangan ketiga jelas tidak mudah untuk diharungi.

Aksi sengit ditonjolkan kedua-dua pemain dengan set pertama memihak Ueda dengan kemenangan 21-12. Menyedari nyawa di hujung tanduk, Darren perlu bangkit untuk memastikan cabaran negara terus menyala.

Pada set kedua, Darren berhempas pula untuk menewaskan Ueda dengan perseorangan ketiga negara itu hanya mampu menang 21-18 bagi mengheret ke set penentuan.

Hanya dipisahkan dengan satu set untuk menamatkan kemarau kejuaraan sejak 1992, tidak terkejut jika Darren berada pada tekanan yang cukup tinggi untuk dapatkan kemenangan.

BACA LAGI: Jimat kos dan lawan berkualiti termasuk sebab kenapa Sri Pahang, Perak jadikan kelab Singapura sebagai 'sparring' pramusim

thomaas (1)

Darren Liew tumpas pada saat akhir kepada Takuma Ueda. — Agensi

Kedua-dua pemain saling bertarung untuk mendapatkan mata hinggalah ke penghujung permainan, Ueda mula membuka jurang untuk membawa kejuaraan buat Jepun.

Jurang itu nyata membawa kejayaan buat Jepun apabila Ueda menang set penentuan 21-17 sekali gus menghadiahkan kejuaraan Piala Thomas yang pertama buat Jepun. Bagi Darren dan Malaysia, hanya kekecewaan menimpa mereka.

Masa untuk ubah sejarah

Malaysia sekali lagi ke Piala Thomas dengan misi untuk membawa pulang kejuaraan tersebut yang sudah tidak dimenangi 32 tahun lalu.

Berdepan Denmark, Hong Kong dan Algeria di peringkat kumpulan, Malaysia seharusnya boleh menempah tempat ke suku akhir seperti yang dilakukan senior mereka pada 2014.

Japan_TC-2014-980x550

Jepun memenangi gelaran sulung Piala Thomas hasil menewaskan Malaysia. — Agensi

Diketuai Lee Zii Jia, inilah masa terbaik untuk skuad badminton Malaysia membuktikan kepada seluruh negara yang mereka mampu memberikan kejayaan walaupun sukar.

Genap sedekad daripada kekalahan di tangan Jepun, 2024 adalah waktu terbaik untuk menulis sejarah badminton negara, kali ini menggunakan rentak cemerlang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram