[VIDEO] Rembatan Baddrol, penalti Liridon julang Kedah jadi kelab terakhir kalahkan JDT pada aksi Sumbangsih


  • Podium
  • Khamis, 02 Mei 2024

Liridon dan Baddrol (tengah) meraikan kemenangan Kedah bertemu JDT. — Agensi

MUSIM ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi bakal beraksi dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada perlawanan pembukaan Liga Malaysia.

Bakal turun berdepan Selangor FC, inilah peluang JDT untuk meneruskan dominasi mereka dalam perlawanan tersebut yang menyaksikan mereka cuma kalah sekali dalam 10 aksi.

Satu-satunya kekalahan tersebut hadir pada musim 2017 dengan Kedah Darul Aman FC berjaya menumbangkan JDT menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin.

Segalanya-galanya bermula baik apabila JDT mendahului menerusi sepakan penalti Safiq Rahim sebelum Harimau Selatan terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Hal ini kerana, S. Kunanlan menjatuhkan Fakri Saarani betul-betul di depan kotak penalti JDT dan ketika itu penyerang Kedah tersebut berada dalam situasi untuk menjaringkan gol.

Beraksi kurang satu pemain, Kedah menggunakan situasi tersebut dengan sebaiknya hingga mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan padu Baddrol Bakhtiar menewaskan Farizal Marlias.

BACA LAGI: VAR Malaysia lulus, FIFA beri lampu hijau kepada FAM

BACA LAGI: Walaupun FAM 'bergolak' tapi Harimau Malaya tiada masalah — Faisal Halim

Selepas 90 minit perlawanan, pemenang masih tidak berjaya dicari dan penentuan sepakan penalti menjadi penentu antara dua kelab.

Nasib nyata menyebelahi Kedah apabila penjaga gol, Hadi Hamid bertindak cemerlang menyelamatkan Brian Ferreira untuk memberikan kelebihan buat Sang Kenari.

Tendangan daripada Liridon Krasniqi mengesahkan kemenangan Kedah sekali gus berjaya menumpaskan JDT di laman sendiri.

Melangkah ke hari ini, JDT terus menguasai perlawanan sumbangsih saban musim sebagai status juara Liga Super.

Setiap lawan yang cuba mendapatkan gelaran tersebut daripada JDT sudahnya akan pulang hampa.

Pemain-pemain Kedah yang dinyatakan sudah membawa haluan sendiri. Baddrol kini menjadi ahli politik, Liridon pula berada di Jerman bermain futsal sementara Hadi merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram