Siti Nurshuhaini tak patut dijadikan 'kambing hitam' punca tersingkir Piala Uber


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mei 2024

Siti Nurshuhaini antara pemain menerima kecaman hebat penyokong Malaysia di Piala Uber. — BAM

MALAYSIA gagal memberikan impak yang diharapkan dalam saingan Piala Uber apabila mereka tumpas di peringkat kumpulan dan terpaksa pulang awal.

Tewas 1-4 kepada Chinese Taipei dan tumbang 0-5 di tangan Thailand, kemenangan bertemu Australia tidak cukup untuk membawa Malaysia ke pusingan seterusnya.

Dalam kekalahan tersebut, menyaksikan pemain perseorangan, Siti Nurshuhaini Azman menjadi sasaran dan kritikan para penyokong negara kerana gagal menyerlah.

Namun begitu, dia tidak sepatutnya disalahkan seorang diri. Analisis ringkas Majoriti akan menerangkan kepada bukan dia saja disalahkan:

Skuad yang 'hijau'

Melihat kepada barisan skuad Piala Uber kali ini, boleh dikatakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah berani membawa pasukan muda ke Chengdu, China.

Rata-rata pemain yang dibawa berusia 19 hingga 21 tahun dengan hanya Teoh Mei Xing merupakan pemain paling senior dalam pasukan (27 tahun).

Jelas sekali, skuad yang dibawa tidak berpengalaman dan apabila bermain di kejohanan seperti Piala Uber, ia akan mendedahkan segala kelemahan para pemain apabila berdepan lawan lebih kuat.

Mungkin edisi kali ini menyaksikan taring mereka belum cukup tajam. Tetapi pada edisi seterusnya, siapa tahu mereka mampu mencabar?

BACA LAGI: Denmark tumpaskan Malaysia jadi juara kumpulan saingan Piala Thomas

piala-uber-wanita-2024

Barisan skuad Piala Uber rata-ratanya di bawah usia 25 tahun. — BAM

Ketiadaan bintang

Skuad Piala Uber terbang ke China dengan agak tempang kerana mereka tidak membawa gandingan beregu iaitu Pearly Tan-M. Thinaah untuk berjuang bersama.

Ketiadaan mereka seakan-akan membuatkan Malaysia hilang satu mata sebelum sesebuah perlawanan itu berakhir. Jika mereka bersama, mungkin Malaysia akan hadirkan cabaran lebih garang di China.

Namun begitu, keputusan menyisihkan mereka dari tugasan Piala Uber demi mengejar emas Sukan Olimpik amat difahami. Sukan Olimpik cuma muncul empat tahun sekali sementara Piala Uber diadakan secara dwitahunan.

Ketiadaan Pearly-Thinaah amat dikesali, tetapi jika itu akan menghadirkan emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik, biarlah kita kecewa di Piala Uber.

BACA LAGI: Fokus buru Piala Thomas, ketepikan isu luar gelanggang — Roslin Hashim

Pearly Tan, left, and Thinaah Muralitharan of Malaysia react after defeating Mayu Matsumoto and Wakana Nagahara of Japan during the trophy ceremony of their women's doubles final of the Yonex French Open Badminton at Coubertin Stadium, in Paris, France, Sunday, Oct. 30 , 2022. (AP Photo/Francois Mori)

Pearly Tan dan M. Thinaah disisihkan dari tugasan Piala Uber demi memburu emas Sukan Olimpik. — Agensi

Ini acara berpasukan

Tak dapat dinafikan, kekalahan skuad Piala Uber mengecewakan kita semua. Walaupun harapan tidaklah diletakkan terlalu tinggi seperti skuad Piala Thomas, tetapi untuk tersingkir awal itu memang menyedihkan.

Akan tetapi, kritikan pedas tidak boleh ditujukan sepenuhnya kepada Siti Nurshuhaini semata-mata, hal ini kerana kejohanan sebegini adalah acara berpasukan bukannya individu.

Jika Siti Nurshuhaini tumbang, masih ada empat aksi lain yang Malaysia boleh gunakan untuk bangkit mengutip mata tetapi sayangnya, semua tidak menyerlah apabila diperlukan.

Oleh itu, kesemua pemain perlu bertanggungjawab atas prestasi buruk ini bukannya ditudingkan jari kepada seorang individu sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram