VAR Malaysia lulus, FIFA beri lampu hijau kepada FAM


  • Podium
  • Khamis, 02 Mei 2024

Para pegawai perlawanan tempatan mengendalikan sistem VAR. — MFL

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberi lampu hijau kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melaksanakan sistem video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh FAM pada Khamis, pihak FIFA mengesahkan kepada mereka yang sistem itu boleh digunakan dalam saingan domestik selepas melepasi ujian yang dinilai badan induk bola sepak dunia itu.

"FIFA secara rasminya pada Isnin, 29 April 2024 telah mengiktiraf dan meluluskan penggunaan teknologi VAR di Liga Malaysia bermula musim 2024-2025.

"Pengiktirafan FIFA ini sudah tentu merupakan satu kebanggaan kepada negara kerana Malaysia merupakan antara 68 negara yang mana FIFA telah memberi kelulusan untuk penggunaan teknologi VAR," kata FAM dalam kenyataan mereka.

BACA LAGI: Walaupun FAM 'bergolak' tapi Harimau Malaya tiada masalah — Faisal Halim

BACA LAGI: Faisal Halim kena setepek beri komen lebih-lebih

Delegasi FIFA yang hadir ke Malaysia pada April bagi menyaksikan persiapan sistem VAR di negara ini, Bhaveshan Moorghan serta instruktur VAR FIFA, Igor Rodajcic, memuji tahap persiapan serta keberadaan sistem VAR dekat negara kita.

Usaha FAM dan Malaysian Football League (MFL) mengadakan perlawanan-perlawanan ujian sistem tersebut untuk membolehkan para pengadil membiasakan diri dengan VAR sebelum aksi sebenar dimulakan.

"Bhaveshan melalui laporannya telah memuji tahap persiapan dan keberadaan tahap kemahiran yang ada pada pengadil-pengadil VAR di negara ini, sekali gus membawa kepada kelulusan FIFA untuk penggunaan teknologi VAR dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025 yang akan bermula 10 Mei ini.

"Sebanyak enam perlawanan percubaan telah dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) bagi tujuan tersebut.

"Pihak MFL juga telah menyediakan sebanyak lapan perlawanan pramusim yang melibatkan pasukan-pasukan Liga Super. Ia memberi peluang kepada pengadil-pengadil untuk terus memahirkan diri dengan teknologi VAR sebelum menghadapi musim Liga Super 2024-2025," ujar FAM.

Sistem VAR akan digunakan secara rasmi dalam bola sepak tempatan buat pertama kali apabila Johor Darul Ta'zim berdepan Selangor FC dalam aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah 10 Mei ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram