Denmark tumpaskan Malaysia jadi juara kumpulan saingan Piala Thomas


  • Podium
  • Selasa, 30 Apr 2024

Jun Hao tewas mudah kepada Antonsen dalam perlawanan perseorangan kedua. — BAM

DENMARK muncul juara kumpulan D bagi saingan Piala Thomas apabila mereka menewaskan Malaysia 3-2 dalam pertarungan sengit lima perlawanan.

Kelas berbeza nyata ditonjolkan oleh para pemain perseorangan Denmark apabila mereka meraih mata daripada kesemua perlawanan tersebut.

Jaguh dunia, Victor Axelsen menewaskan perseorangan utama negara, Lee Zii Jia menerusi kemenangan straight set 21-16, 24-22 dalam masa 45 minit untuk memberikan Denmark mata pertama.

Kedudukan itu disamakan oleh gandingan Aaron Chia-SohWooi Yik apabila mereka berjaya menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmusen dalam pertarungan tiga set.

Gandingan negara itu tumpas 17-21 terlebih dahulu sebelum meraih kemenangan 21-17 untuk menyamakan kedudukan. Kemenangan 21-16 di set ketiga memberikan kemenangan buat gandingan negara.

BACA LAGI: Piala Thomas: Malaysia kalahkan Algeria 5-0, tempah slot suku akhir menentang Denmark

BACA LAGI: Fokus buru Piala Thomas, ketepikan isu luar gelanggang — Roslin Hashim

Denmark kembali di depan apabila Anders Antonsen mudah menewaskan Leong Jun Hao dengan kemenangan mudah 21-14, 21-10 dalam masa 41 minit.

Namun begitu, kedudukan itu disamakan semula oleh gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin selepas mereka menewaskan Rasmus Kjaer-Federik Sogaard menerusi persembahan cukup baik.

Walaupun diberikan tentangan sengit tetapi gandingan beregu kedua negara menghasilkan kemenangan 23-21, 22-20 dalam masa 50 minit.

Mata kemenangan Denmark diperoleh menerusi Rasmus Gemke apabila dia menewaskan Justin Hoh dalam perlawanan terakhir.

Akan tetapi, ia bukannya mudah untuk Gemke kerana walaupun menang 21-13 pada set pertama, dia ditewaskan Justin pada set kedua dengan keputusan 21-19.

Gemke kemudiannya bangkit untuk mencapai kemenangan 21-13 sekali gus menjadikan Denmark juara kumpulan D. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram