Sudah tawan Hong Kong, Malaysia mesti tumbangkan Algeria demi tiket ke suku akhir


  • Podium
  • Ahad, 28 Apr 2024

Penampilan pertama Justin Hoh di Piala Thomas berakhir dengan kemenangan. — BAM

SKUAD Malaysia memulakan kempen Piala Thomas dengan bergaya apabila berjaya menewaskan Hong Kong pada aksi pertama Sabtu lalu.

Merakamkan kemenangan 5-0 ke atas Hong Kong, Malaysia dalam landasan terbaik untuk mara ke suku akhir dengan perlawanan berdepan Algeria pada Ahad.

Menentang wakil Afrika itu mungkin tidaklah sesukar berdepan Hong Kong, namun begitu Malaysia mesti memandang serius cabaran yang diberikan demi memastikan kemenangan dicapai.

Menang itu wajib

Dalam aksi berdepan Hong Kong, Malaysia menampilkan persembahan baik dengan memenangi kesemua aksi untuk memperoleh lima kemenangan.

Malah, persembahan skuad negara dilihat hampir sempurna apabila cuma melepaskan dua set kepada Hong Kong.

Ini memberikan gambaran yang skuad negara dalam keadaan yang cukup bersedia untuk memenangi perlawanan pertama dan itu harus dibawa apabila berdepan Algeria pada aksi kedua.

Aksi kedua berdepan Algeria tidak boleh dipandang enteng, sebaliknya mereka perlu serius kerana menerusi negara Afrika itu Malaysia boleh ke suku akhir.

BACA LAGI: Piala Thomas: Malaysia mula langkah kanan, menang 5-0 bertemu Hong Kong

Teruskan memukau penyokong

Ketika menewaskan Hong Kong, barisan pemain negara jelas mempamerkan taring mereka dengan bintang-bintang utama mencatatkan kemenangan straight set.

Pemain seperti Lee Zii Jia, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin nyata menyerlah dengan menampilkan persembahan baik berdepan lawan masing-masing sekali gus membantu Malaysia memperoleh mata.

Berdepan Algeria, diharap persembahan mereka akan terus berada di momentum terbaik bagi mengekalkan prestasi sebelum turun menentang Denmark.

Ia juga boleh menjadi penguat motivasi buat mereka jika berjaya tampil cemerlang bertemu Algeria, kerana Denmark bukannya lawan mudah untuk ditundukkan.

BACA LAGI: Fokus buru Piala Thomas, ketepikan isu luar gelanggang — Roslin Hashim

Tingkatkan fokus

Namun begitu, fokus dalam kalangan pemain perlu masih perlu ditingkatkan supaya tidak mudah ditundukkan lawan ketika sedang beraksi.

Melihat kepada persembahan Leong Jun Hao serta Justin Hoh, mereka bermain baik untuk mendapatkan kemenangan namun isu fokus masih membelenggu apabila mereka melepaskan set berdepan lawan masing-masing.

Ketika set yang menyaksikan mereka tewas, Jun Hao dan Justin dilihat berada dalam kelekaan ketika beraksi. Justin misalnya, mempunyai peluang baik untuk menang di set kedua tetapi kerana leka, dia tewas dan terpaksa bermain di set penentuan.

Selain itu, kesilapan menerusi unforced error juga mestilah dikurangkan kerana itu boleh menjadi punca kepada kekalahan dan ia mestilah dibaiki secepat pada aksi bertemu Algeria.

Hal ini kerana, jika kelemahan ini masih tidak dibaiki, ia boleh mengundang masalah ketika bertemu Denmark yang lebih berkualiti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram